Hot !

Tak Perlu Segan Pakai Baju Biasa




KUALA TERENGGANU - Pelajar yang terlibat banjir dan tidak mempunyai pakaian seragam untuk ke sekolah tidak perlu segan berpakaian biasa bagi memulakan sesi persekolahan baharu 2015 yang akan bermula esok (hari ini).

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi dan Tugas-tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata, mangsa banjir yang tidak sempat menyediakan kelengkapan pakaian sekolah kepada anak telah diberi kebenaran berpakaian biasa ke sekolah.

 



Anggota bomba dan penyelamat memindahkan keluarga kanak-kanak ini ke pusat pemindahan ketika menjalankan operasi di Kampung Dabong, Kemaman.



Perkara itu diputuskan sebelum ini oleh Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh dan pengetua serta guru dimaklumkan untuk beri kebenaran kepada ibu bapa terutama di kawasan teruk dilanda banjir seperti di Kemaman dan Dungun, katanya.

Ghazali berkata, keutamaan itu hanya diberikan kepada mangsa banjir yang belum sempat sediakan pakaian seragam kepada anak mereka.

Bagaimanapun, kepada yang tidak terlibat banjir atau mangsa banjir yang anaknya telah mempunyai pakaian seragam diminta untuk berpakaian lengkap ke sekolah.

Kita memahami mereka yang menjadi mangsa banjir di mana dalam keadaan banjir, rumah dinaiki air, barang semua hilang dan hanyut, ada yang tidak sempat untuk menyediakan kelengkapan sekolah untuk anak mereka. Sebab itulah kita beri keringanan kepada mereka, katanya.

Menurutnya, pelajar yang menjadi mangsa banjir juga perlu bersemangat untuk memulakan sesi persekolahan baharu walaupun mereka hanya berpakaian biasa tidak seperti rakan lain yang lebih bernasib baik.

Kita harap mereka yang tiada pakaian seragam tidak berasa segan untuk ke sekolah kerana mereka dikecualikan atas sehingga mempunyai pakaian seragam sekolah dan rakan yang bernasib baik perlu memberi semangat kepada pelajar ini.

Pelajar perlu memulakan sesi persekolahan dengan azam dan semangat baru untuk belajar bersungguh-sungguh walaupun mereka melalui pengalaman buruk yang dilalui ketika banjir gelombang kedua baru-baru ini, katanya.

Ghazali berkata, semua sekolah di negeri ini telah hampir 100 peratus sedia untuk beroperasi bagi memulakan sesi persekolahan 2015 pada 11 Januari 2015 (hari ini).

Alhamdulillah, kesemua sekolah yang terlibat banjir dan dinaiki air di negeri ini telah boleh beroperasi bagi memulakan sesi baru persekolahan. Hampir kesemua sekolah telah dicuci dan dikemaskan.

Kita juga telah membantu memberi kelengkapan kepada sekolah yang terlibat banjir pada tahap minimum dan ia akan dibantu secara berperingkat, katanya.

Terdahulu, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) memaklumkan, kesemua 91 buah sekolah yang dilanda banjir dan dijadikan pusat pemindahan sementara mangsa banjir di negeri ini dijangka boleh beroperasi seperti biasa menjelang hari pertama sesi persekolahan pada hari esok (hari ini).

0 Response to "Tak Perlu Segan Pakai Baju Biasa"

Post a Comment