Hot !

"ISU JEREBU, JANGAN CAKAP KERAJAAN TAK BUAT KERJA !"



Saya terpanggil untuk menjelaskan keraguan dan soalan-soalan umum terhadap cara negara mengendalikan isu jerebu kebelakangan ini. Ini berdasarkan pembacaan dan pemahaman saya sendiri sebagai salah seorang rakyat yang juga terkesan dengan episod jerebu kali ini.


Antara soalan-soalannya:

1. Kenapa semalam lagi teruk jerebu berkabus tapi bacaan IPU tak setinggi hari ini?

Bacaan IPU diperoleh berdasarkan purata 24 jam dari masa terkini. Contohnya, kalau kita lihat bacaan IPU pada jam 6.00 petang hari ini, ia sebenarnya diukur berdasarkan purata 24 jam daripada jam 6 .00 petang semalam.


2. Jerebu teruk ni. Jarak penglihatan pendek, tapi bacaan IPU sederhana saja?

Jerebu kelihatan lebih buruk apabila berserta dengan wap air yang mengelilingi habuk-habuk halus (particulate matter, PM) yang diukur. Wap air akan hilang selepas tempoh-tempoh tertentu dan meninggalkan hanya habuk-habuk halus. Dan yang diukur hanyalah habuk-habuk halus tanpa wap air.


3. Kenapa kena ambil purata sampai 24 jam?

Ini kerana berdasarkan standard antarabangsa, impak negatif jerebu adalah bergantung kepada tempoh manusia terdedah kepada keadaan jerebu pada paras-paras tertentu. Contohnya, keterdedahan manusia yang dalam keadaan kesihatan yang baik kepada jerebu di tahap yang tidak sihat selama 1 jam, adalah tidak berbahaya berbanding keterdedahannya kepada jerebu yang tidak sihat selama 3 jam ke atas. Jadi bacaan purata adalah penting untuk mengukur tempoh dan tahap keterdedahan kepada jerebu di sesuatu kawasan.

Berdasarkan perkara inilah bacaan IPU akan menjadi panduan dalam menentukan tindakan-tindakan yang perlu dilaksanakan seperti yang termaktub di dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (eg:seperti pembenihan awan, penutupan sekolah dsb akan diaktivasikan)


4. Kenapa bacaan Pollution Standard Index (PSI) di Singapura dah mencecah 200 tapi IPU kita masih di tahap bawah 100?

Singapura menggunakan parameter yang tambahan daripada Malaysia, iaitu dengan mengukur partikel bersaiz PM2.5 (2.5.mikrometer) yang lebih kecil daripada PM10 (10 mikrometer). Kecuali Singapura, Negara-negara ASEAN dan kebanyakan negara lain turut menggunakan pengukuran seperti standard Malaysia (PM10). Alat serta kaedah pengukuran kita adalah mematuhi standard dan quality control US EPA sama seperti yang digunakan di seluruh dunia.

Tentulah parameter PM2.5 lebih baik daripada PM10 untuk mengesan partikel-partikel yang berbahaya kepada sistem pernafasan manusia. Namun untuk makluman semua, berdasarkan perbezaan parameter ini, Kementerian Pelajaran akan mengeluarkan arahan penutupan sekolah pada bacaan IPU 150-200 berbanding Singapura pada bacaan PSI 300.

Malaysia mempunyai pelan tindakan yang komprehensif bagi memelihara kesihatan awam pelbagai golongan pada tahap kesihatan yang berbeza-beza. Ini termasuklah melaksanakan pembenihan awan yang tidak banyak negara lain laksanakan. Sudah pastilah tidak semua negara mempunyai pelan komprehensif seperti negara kita.


5. Kenapa kita tak ukur sampai PM2.5 juga?

Malaysia sedang mempersiapkan diri untuk mengukur PM2.5 juga pada tahun 2017. Punca bahan pencemar di udara adalah tidak sama di Malaysia dan negara-negara lain, bergantung kepada aktiviti-aktiviti dalam negara yang sedang berjalan seperti aktiviti-aktiviti industri dan perkilangan.

Buat masa ini, Kerajaan sedang dalam usaha mengawal punca-punca pencemar yang bersaiz PM2.5 melalui Pelan Tindakan Udara Bersih seperti penambahbaikan standard fuel, memperketatkan standard pelepasan daripada punca-punca tetap, meminda akta-akta berkaitan dan sebagainya.

Sekadar berkongsi, jumlah stesen pengukuran PSI di Singapura tidak melebihi 5 berbanding sekurang2nya 54 di seluruh Malaysia. Sudah tentulah punca pencemar udara di Malaysia juga adalah jauh lebih banyak daripada negara "comel" tersebut.


6. Apa negara buat? Buat tak tahu saja?

Kementerian dan agensi berkenaan telah, sedang dan akan terus memberi perhatian dalam isu ini. Agak sukar kerana punca jerebu bukanlah dari dalam negara kita sendiri.


7. Apa langkah berjaga-jaga bila berhadapan musim jerebu? Takkan pakai topeng dan jangan keluar rumah je?

Ya. Memang itulah yang terbaik. Semasa keadaan berjerebu, orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengelakkan dari berada di luar rumah, mengurangkan aktiviti riadah luar dan sekiranya perlu berada di luar hendaklah memakai penutup hidung dan mulut (mask).

Sebenarnya orang awam boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang langkah-langkah untuk menjaga kesihatan semasa musim berjerebu dengan melayari laman web Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di alamat http://www.infosihat.gov.my. Maklumat yang dikongsikan amat baik, mudah difahami dan praktikal.


8. Jerebu masuk rumah juga. Takkan dalam rumah pun nak pakai mask?

Terpulanglah kepada diri masing-masing. Ketahanan setiap kita adalah berbeza-beza. Kalau yang pasang aircond, mungkin kurang sedikit keterdedahan terus kepada udara berjerebu dari luar. Tapi macam saya yang tidak memasang aircond dan selesa dengan sistem pengudaraan natural dari luar rumah, kenalah pakai mask semasa berada di dalam rumah.

Pada musim sebegini saya tidak nafikan jika berkemampuan lebih, pelaburan untuk memasang 'air purifier' di dalam rumah mmg berbaloi dan sepatutnya menjadi suatu keperluan terutamanya apabila ada bayi, kanak-kanak, org yang mempunyai masalah kesihatan berkaitan sistem respiratori seperti athma dsb di rumah. Lagipun fakta menunjukkan hampir setiap tahun negara kita dilanda jerebu.

Sekian perkongsian saya. Sekiranya ada penjelasan yang salah atau kurang tepat di atas, pohon diperbetulkan.

Terima kasih kerana sudi membaca. - Wan Izar


SUMBER

0 Response to ""ISU JEREBU, JANGAN CAKAP KERAJAAN TAK BUAT KERJA !""

Post a Comment