Hot !

Guru Bahasa Inggeris Hasilkan Tangan Bionik

PULAU PINANG 31 Jan. – Jika melihat kepada teknologi tangan bionik yang dihasilkannya untuk membantu dua kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) baru-baru ini, pasti ramai beranggapan individu berkenaan mempunyai latar belakang pendidikan sekurang-kurangnya kejuruteraan fizikal atau mekanikal.

Namun hakikatnya, individu berkenaan iaitu Sujana Mohd. Rejab, 47, hanyalah bekas guru bahasa Inggeris dan baru menceburi bidang rekaan tangan bionik atau mekanikal kira-kira dua tahun lalu.



SUJANA MOHD. REJAB (kanan) memerhatikan tangan mekanikal yang dipakaikan kepada Muhammad Muqri Mifzal Rhemi Rizal di Bayan Lepas, Pulau Pinang, kelmarin



Lebih membanggakan, kesemua pengetahuan berkaitan teknologi itu diperolehnya bukan secara pendidikan formal, sebaliknya hanya dipelajari menerusi Internet serta berpandukan video di YouTube.

Menceritakan lebih lanjut, Sujana yang merupakan lulusan Maktab Perguruan Mohamad Khalid berkata, dia memilih menumpukan sepenuh masa terhadap teknologi pembuatan tangan bionik itu selepas menyertai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), E-Nable yang hanya beribu pejabat secara maya di Google+ Group.

Menurutnya, E-Nable merupakan rangkaian sukarelawan dari seluruh dunia yang bertindak mengkaji, membina, berkongsi dan memberikan tangan mekanikal (prostetik) berasaskan teknologi cetakan tiga dimensi (3D) kepada pihak memerlukan di seluruh dunia.

Sejak menyertai pertubuhan itu ujarnya, dia mempelajari kemahiran mengendali, mereka bentuk dan menggunakan mesin cetak 3D tersebut sehingga mampu menghasilkan tangan bionik seperti yang dihadiahkan kepada dua kanak-kanak sebelum ini.

“Selepas dua tahun terlibat dalam teknologi ini yang sepenuhnya dipelajari menerusi Internet, saya kini mampu mengeluarkan mesin cetak 3D ciptaan sendiri melalui syarikat c3d.my, selain mempunyai sembilan ejen di seluruh negara,” katanya.

Beliau ditemui Mingguan Malaysia selepas menghadiahkan tangan bionik kepada seorang kanak-kanak, Muhammad Muqri Mifzal Rhemi Rizal, 8, di Bayan Lepas di sini semalam.

Sebelum ini, tangan bionik serupa turut dihadiahkan kepada kanak-kanak perempuan, Ainaa Amanda Shahzali, 7, di Perak yang kisahnya menjadi perhatian pengguna media sosial baru-baru ini.

Menurut Sujana, teknologi penghasilan tangan bionik menggunakan cetakan 3D itu tidak memerlukan tempoh yang lama untuk disiapkan, malah kosnya juga sangat murah iaitu kira-kira RM100.


sumber: utusan.com.my

0 Response to "Guru Bahasa Inggeris Hasilkan Tangan Bionik"

Post a Comment