Hot !

Celcom Agresif Tambah Pelanggan




Zalman Aefendy dan Pengarah Kanan Pengurusan Produk Blackberry Asia Pacific, Damian Tay (dua, kanan) ketika pelancaran Blackberry Classic dengan Pelan Celcom First, semalam.



CELCOM Axiata Berhad (Celcom) mengukuhkan kedudukannya sebagai antara rangkaian komunikasi terbaik di negara ini dengan meneruskan jalinan kerjasama bersama Blackberry Limited dalam menawarkan telefon pintar Blackberry Classic menggunakan Pelan Celcom First.

Ketua Pegawai Pemasarannya, Zalman Aefendy Zainal Abidin berkata, kerjasama itu menguatkan lagi komitmen Celcom dalam menyediakan pengalaman menggunakan peranti mudah alih terbaik dan pada masa sama meningkatkan pertumbuhan kepelbagaian pilihan telefon pintar.

Kerjasama bersama Blackberry diteruskan kerana adanya permintaan daripada pelanggan terutama dari sektor korporat, kerajaan dan enterprise kerana kelebihan Blackberry yang mempunyai kualiti ciri-ciri keselamatan terbaik.

Sebagai penyedia telekomunikasi mudah alih, kami sentiasa menawarkan perkhidmatan yang memenuhi permintaan pelanggan dan sedia bekerjasama dengan mana-mana pengeluar peranti mudah alih, katanya selepas pelancaran Blackberry Classic di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, sehingga kini, lebih 200,000 pelanggan Blackberry di bawah rangkaian Celcom direkodkan sejak 10 tahun lalu dan berharap pelancaran Blackberry Classic dapat menarik lebih ramai pelanggan.

Dalam pada itu, Zalman Aefendy berkata, Celcom menjangkakan pertumbuhan positif syarikat itu pada tahun ini, berbanding tahun lalu dengan pelancaran beberapa produk baharu pada separuh pertama 2015.

Di samping itu, Celcom juga akan tambah baik dan menstabilkan perkhidmatan kami terhadap pelanggan, katanya.

Menerusi pelan itu, pengguna boleh memilih pelan mengikut komitmen masing-masing sama ada penggunaan Internet yang lebih atau panggilan dengan bayaran serendah RM50.

Bermula semalam, Blackberry Classic boleh didapati secara ekslusif di Celcom Blue Cube dan Celcom Xclusive pada harga RM1,588.

0 Response to "Celcom Agresif Tambah Pelanggan"

Post a Comment