Hot !

Nama Arab Saudi Berasal Dari Dinasti Al-Saud




RIYADH: Dinasti Al-Saud, keturunan Almarhum Raja Abdullah, memberi nama kepada monarki Teluk Arab, Arab Saudi yang diperintah anak lelaki kepada pengasasnya Abdul Aziz bin Saud. Keturunan Al-Saud mengesan asal usul mereka dari tahun 1700 an, apabila Saud bin Mohammad dilantik sebagai sheikh (pemimpin tempatan) di tengah semenanjung Arab, tempat lahir dua kurun kemudian, satu-satunya sebuah negara di dunia dinamakan sempena sebuah keluarga.

Anak lelakinya, Mohammad bergabung dengan seorang ulama lantang pada 1744, Mohammad bin Abdul Wahhab, yang mahu kembali kepada ajaran sebenar Islam, menyebarkan doktrin itu menerusi kekuatan pedang.



TENTERA Diraja Arab Saudi berdiri di depan gambar Raja Abdullah (kanan), Putera Salman dan Timbalan Perdana Menteri Kedua, Muqrin Abdulaziz di Riyadh, pada Februari tahun lalu. - Foto Reuters


 



Keturunan Mohammad hilang kuasa kepada tentera Uthmaniyah pada 1818, namun enam tahun kemudian keluarga Saud mengambil alih kerusi padang pasir di sini, namun wujud perbalahan berhubung siapa layak mewarisinya.

Menjelang tahun 1902, Abdul Aziz bin Saud mengusir puak lawan, Rashidi dari sini, di tengah-tengah semenanjung Arab dan mula merangka mengukuhkan kekuasaannya. Abdul Aziz menyatukan jajahan dalam beberapa siri perang antara puak.

Beliau mengambil alih kawalan perairan Teluk pada 1913, mengusir Hussein, pemimpin Bani Hashim di bandar suci umat Islam di kota Makkah menjelang 1925 dan pada 1932 mengisytiharkan dirinya sebagai Raja Arab Saudi.

Untuk mengukuhkan kekuasaannya, raja baharu itu berkahwin dengan anak perempuan ketua puak. Pada hari ini, keluarga pemerintah itu dianggarkan berjumlah 25,000 orang termasuk kira-kira 200 putera berpengaruh.

Telaga minyak diteroka pada 1938 di negara pentadbiran tegas Wahabi itu yang kemudian mengubahnya kepada satu daripada negara terkaya di dunia.

Abdul Aziz memiliki 45 anak lelaki. Raja Saud menggantikan pengasas pentadbiran diraja itu ketika kemangkatannya pada 9 November 1953.

Raja Faisal mengambil alih takhta pada 2 November 1964 selepas adik lelaki tirinya itu disingkir atas tuduhan rasuah dan tidak cekap. Saud mangkat dalam buangan pada 1969.

Dianggap sebagai arkitek pemodenan Arab Saudi, Faisal bagaimanapun dibunuh seorang anak saudara lelakinya yang dikatakan sakit mental pada Mac 1975.

Khaled, seorang lagi adik lelaki tirinya, mengambil alih dan memerintah sehingga kemangkatannya pada 1982 apabila Raja Fahd dipilih, pada masa sama melantik Abdullah, dua tahun muda daripadanya sebagai putera mahkota.

Abdullah mengambil alih pentadbiran harian negara beraja itu selepas Fahd diserang strok pada November 1995.

Putera popular itu kemudian mengambil alih takhta secara automatik selepas kemangkatan abang tirinya, walaupun undang-undang pada 1992 yang diluluskan Fahd memberi jalan pemberian takhta kepada cucu lelaki Abdul Aziz dan bukan hanya anak lelakinya. - AFP

0 Response to "Nama Arab Saudi Berasal Dari Dinasti Al-Saud"

Post a Comment