KUALA KANGSAR - Walaupun rakannya menjerit meminta tolong dan merintih kesakitan, tiada apa dapat dilakukan seorang lelaki untuk menyelamatkan rakannya yang rentung selepas kereta dinaiki mereka dirempuh treler di Kilometer (KM) 254.8, Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah utara selepas Terowong Menora, di sini, semalam.
Menceritakan detik tragik itu, Mohd Nasrullah Mohd Abdul Ghaffar, 28, berkata, ketika kejadian pada jam 9.30 pagi itu dia dan Joeri Ramli, 34, dalam perjalanan dari Ipoh ke Gerik.
Menceritakan detik tragik itu, Mohd Nasrullah Mohd Abdul Ghaffar, 28, berkata, ketika kejadian pada jam 9.30 pagi itu dia dan Joeri Ramli, 34, dalam perjalanan dari Ipoh ke Gerik.
Kereta dipandu mangsa musnah terbakar dalam kemalangan di KM 254.8 Lebuhraya Plus arah utara pagi semalam
Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, kereta Honda Civic dinaiki mereka dirempuh sebuah treler dari arah belakang dan Joeri tersepit di tempat duduk pemandu.
Nasrullah yang dipanggil Mamat oleh rakan-rakannya berkata, dia terkilan tidak dapat menyelamatkan Joeri kerana api marak dengan cepat membakar kereta itu.
Mamat tolong aku..tolong aku...arwah jerit kepada saya dan saya lihat dia meronta-ronta di dalam kereta, cuba melepaskan diri.
Saya dengar dengan jelas arwah jerit minta tolong dan saya cuba bantu tetapi tak berjaya kerana dia tersepit. Semasa saya cuba tarik tangannya, saya cuma dapat kulitnya sahaja.
Saya sedih dan menangis sebab waktu itu saya tidak dapat buat apa-apa untuk selamatkan arwah. Saya dan yang lain hanya menjerit minta dia mengucap,? katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Dia yang cedera akibat kemalangan itu berkata, semasa rempuhan pertama, Joeri berjaya mengawal kereta dipandunya namun hilang kawalan ketika treler terbabit merempuh kenderaan itu untuk kali kedua.
Semasa rempuhan kedua, kereta kami berpusing melintang jalan dan diseret treler itu sebelum berhenti. Ketika itu Joeri masih hidup dan saya berjaya keluar dengan bantuan orang ramai.
Kejadian berlaku terlalu pantas dan dalam masa dua minit, api dari kepala lori terus merebak dan menyambar kereta kami, katanya.
Hantar pesanan suara
Ketika kemalangan itu, Nasrullah sempat menghantar pesanan suara berbunyi "Wei, tolong aku wei.. Aku dengan Joey accident ni. Joey dah meninggal, Joey dah meninggal...ya ALLAH. kepada rakan serumahnya, Syawal Ibrahim, 25.
Syawal berkata, kedua-dua rakannya itu dalam perjalanan ke Gerik atas urusan kerja dan Mamat sempat menghantar mesej mengatakan mereka mahu memulakan perjalanan kira-kira jam 8.11 pagi, semalam.
Bagaimanapun, Syawal yang masih tidur ketika itu tidak mengikut mereka dan dia tidak menyangka rakannya itu terlibat dengan kemalangan yang mengorbankan nyawa Joeri.
Sebelum ini, Joeri memang tidak menunjukkan sebarang perubahan dan dia kelihatan ceria seperti biasa. Semalam pun kami sempat makan malam beramai-ramai.
Saya ada dengar mereka nak patah balik untuk ambil saya namun apabila tahu saya tidur, mereka teruskan perjalanan dan tidak sangka mereka kemalangan, katanya.
Menurutnya, Joeri rapat dengannya kerana mereka tinggal serumah di Taman Lapangan Permai, Ipoh dan hubungan mereka rapat seperti adik-beradik.
Sementara itu, seorang lagi rakan serumah mangsa, Mohd Shahrizal Mad Radzi, 33, berkata, rumah mereka pastinya sunyi selepas ini kerana Joeri seorang yang ceria, gemar bergurau senda dan melayan rakan serumah seperti adik sendiri memandangkan dia yang paling tua dalam kalangan mereka.
Malah katanya, mereka menyertai sebuah kelab motosikal lasak dan mangsa adalah antara orang kuat dalam kelab itu justeru kehilangannya pasti dirasai setiap ahli.
Dia umpama ketua kepada kami dan apabila dia tiada, sukar buat kami. Ia diibaratkan seperti sebuah kapal terbang, bila satu sayap patah maka sukar ia bergerak," katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Kuala Kangsar, semalam.
Ibu hampir pengsan
Kemalangan ngeri yang mengorbankan nyawa Joeri itu memberi tamparan hebat kepada ibunya, Sharifah Saad, 66, yang hampir pengsan ketika melihat jenazah anaknya itu, hingga terpaksa ditenangkan.
Sharifah berkata, kali terakhir di berjumpa dengan anak ketiga daripada tujuh beradik itu adalah ketika Hari Raya lalu namun anaknya itu kerap menghubunginya melalui telefon.
Dia memang manja dengan saya. Bila balik kampung di Kampung Depan Balai, Bagan Serai, mesti dia minta saya masakkan gulai ikan sebab dia dah jemu makan ayam.
Saya ada tanya dia bila nak balik kampung, dia kata Februari sebab mahu selesaikan urusan perpindahan kerjanya dari Sabah ke sini,? katanya.
Menurutnya, apa yang lebih memilukan hatinya, anaknya itu meninggal dunia pada bulan sama dengan suaminya yang menghembuskan nafas terakhir pada 2 Januari 2011 disebabkan kanser usus.
Treler hilang kawalan
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Ghuzlan Salleh berkata, treler seberat 60 tan muatan barang besi yang terbabit dalam kemalangan itu hilang kawalan berikutan brek tidak berfungsi semasa melalui KM 256.9 yang ketika itu dinaik taraf, di mana lorong kiri ditutup.
Menurutnya, kenderaan berat itu kemudiannya memasuki lorong kanan dan melanggar tiga kenderaan lain di lorong tersebut.
Dua kenderaan lain yang dilanggar treler itu terbabas ke tepi kiri jalan manakala kereta mangsa yang dirempuh, diseret sehingga ke KM 254.8 sebelum terbakar.
Pemandu dan kelindan treler itu sempat menyelamatkan diri," katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat manakala rakannya menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.
sumber: sinarharian.com.my
Pemandu dan kelindan treler itu sempat menyelamatkan diri," katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat manakala rakannya menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.
sumber: sinarharian.com.my
0 Response to "Kawan Meronta Minta Tolong Sebelum Rentung"
Post a Comment