Rompin - Demi
mempertahankan nyawa dan maruah ibu serta adik perempuannya, seorang lelaki
nekad bertempur dengan dua daripada lima penyamun yang memasuki rumah mereka di
FELDA Keratong 5, Muadzam Shah, di sini, hingga cedera parah terkena 11 tetakan
di tangan hingga menampakkan tulang, kaki dan perut, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam
3.30 pagi itu, Mohd Arsyad Othman, 26, parah terkena 11 tetakan ketika melawan
dengan penyamun bertopeng dipercayai warga asing bersenjatakan dua parang dan
tiga kayu.
Difahamkan, ketika
Arsyad bertarung dengan dua lelaki terbabit, tiga lagi penyamun mengepung ibu
dan adiknya sambil mengawal keadaan.
Melihatkan Mohd
Arsyad ditetak berkali-kali, ibunya, Zaharah Bakar, 57, melaungkan ‘Allahuakbar’
kerana tidak mampu berbuat apa-apa apabila dikepung tiga penjenayah bersama
anaknya, Nor Adibah, 23.
Menceritakan detik
cemas itu, Mohd Arsyad berkata, dengan kudrat yang ada dia cuba melawan penyamun
terbabit kerana bimbang akan mengapa-apakan ibu dan adik perempuannya.
“Saya yang ketika
itu tidur di ruang tamu tersedar apabila mereka memukul belakang saya dengan
kayu.
“Selepas itu, saya
lihat lima penyamun berada dalam rumah dengan tiga daripada mereka sudah
mengepung ibu dan adik,” katanya yang kini stabil selepas mendapatkan rawatan di
Hospital Muadzam Shah (HMS) di sini.
Mohd Arsyad
berkata, seorang penyamun terbabit cuba menetaknya di kepala, namun dia sempat
menahan dengan tangan sebelum mencapai sebatang besi dan terus berlawan.
“Tanpa
mempedulikan kesakitan, saya melawan walaupun penyamun itu melibas parang
berulang kali sehingga mengenai beberapa bahagian badan,” katanya yang bekerja
kampung.
“Ketika itu saya
hanya terfikir keselamatan ibu dan adik perempuan walaupun nyawa saya jadi
taruhan,” katanya yang bekerja kampung.
Anak keenam
daripada tujuh beradik itu berkata, melihatkan tindakan agresifnya, penyamun
terbabit melarikan diri dan hanya sempat mengambil dompetnya mengandungi wang
tunai RM400 dan satu komputer riba.
“Selepas itu baru
saya sedar tangan kanan terkena tetakan sehingga nampak tulang dan seluruh badan
terasa sakit,” katanya.
Mohd Arsyad
berkata, anggota polis yang tiba selepas membuat laporan di Balai Polis Muadzam
Shah jam 5 pagi, menemui dompetnya dicampak kira-kira 500 meter dari tempat
kejadian.
“Namun, wang tunai
di dalam dompet itu diambil penyamun, tetapi saya bersyukur kerana semuanya
selamat,” katanya.
Menurutnya, ia
adalah kejadian kedua selepas kali pertama rumahnya dimasuki penyamun lapan
tahun lalu menyebabkan kerugian dianggarkan RM2,000.
Sementara itu,
Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Johari Jahaya, ketika dihubungi
mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan pihaknya sudah mengenal pasti
penjenayah dipercayai warga asing terbabit.
0 Response to "Demi Nyawa & Maruah Ibu & Adik, Pemuda Ini Nekad Lawan 5 Penyamun Hingga Terkena 11 Tetatakan"
Post a Comment