Hot !

Umat Islam Wajib Pilih Pemimpin Ikut Kata Ulama – Nik Abduh


Dalam demokrasi, rakyat mesti diberi hak memilih. Apabila hak itu digunakan, maka ia adalah kemuncak keadilan kerana tiada lagi yang lebih atas selain kuasa dan hukum rakyat.

Dalam Islam, rakyat mesti diberi hak memilih. Apabila hak itu digunakan, maka rakyat dipertanggungjawabkan atas apa yang mereka pilih. Jika menepati syarak, maka ia adalah keredaan-Nya. Jika sebaliknya, ia adalah kesalahan syarak yang mesti diperbetulkan. Rakyat bukan teratas. Teratas adalah syarak.

Justeru dalam sistem pemerintahan Islam, hak rakyat memilih mestilah dipandu oleh ilmuan syarak atau para ulama yang akan terus memastikan binaan amar makruf nahi munkar, nasihat, peringatan ugama dan dakwah berkembang dalam masyarakat.

Kewujudan sebuah entiti yang membimbing masyarakat mestilah diadakan oleh rakyat dan diterima pakai oleh rakyat itu demi ketepatan mereka memilih dan membuat keputusan berdasarkan syarak.

Di sinilah peranan para ulama dan pendakwah menjadi getir dan penting. Mereka mesti bersuara dan suara mereka mesti didengar semasa rakyat memilih semua perkara yang melibatkan hukum.

Kewujudan secara 'wajib' entiti amar makruf nahi munkar dalam masyarakat akan memastikan rakyat diselamatkan daripada tipu daya golongan perosak yang begitu bebas bergerak dalam ruang demokrasi yang dianjurkan oleh Islam demi hak kebebasan rakyat memilih dan menentukan.

Golongan ini akan seupayanya mendorong rakyat untuk keluar daripada perintah ugama yang bertentangan dengan kehendak hawa nafsu manusia. Tanpa kekuatan yang besar, rakyat akan mudah terpengaruh untuk menerima ajakan golongan perosak ini.

Sebagai contoh, di dalam pilihan raya memilih pemimpin, rakyat diberi hak memilih pemimpin mereka. Mereka tidak boleh disekat. Tetapi mereka tidak boleh memilih sesuka hati kerana ianya dipertanggungjawabkan oleh agama.

Justeru menjadi kewajiban para ulama dan pendakwah membuat kajian, menilai dan memandu rakyat dalam membuat keputusan yang benar dan tepat buat negara. Tidak semua rakyat mampu melakukan penilaian sendiri kerana keupayaan ilmu dan capaian maklumat yang berbeza.

Semua mesti memilih pemimpin yang bertaqwa yang memandu ke jalan ugama. Para ulama akan menyeru ke arah itu. Jika rakyat memilih sebaliknya, pemerintahan pemimpin yang fasiq adalah sah di atas pilihan rakyat. Tetapi rakyat kekal berdosa salah memilih pemimpin.

Para ulama dan pendakwah mestilah istiqamah menyeru rakyat agar berubah dan mengubah undi mereka kepada undian yang menepati syarak.

Begitulah halnya di dalam bab keadilan dan kezaliman. Entiti 'ummatun yad'uuna ilal-khair' adalah seperti cahaya yang dibawa oleh ugama Islam untuk sistem demokrasi tempang yang yang diperkenalkan oleh barat hari ini.

Semoga umat terus dicahayai panduan para ulama yang berjuang. - Harakah Daily

0 Response to "Umat Islam Wajib Pilih Pemimpin Ikut Kata Ulama – Nik Abduh"

Post a Comment