Hot !

Klinik, Hospital Swasta Tak Boleh Naik Harga Melebihi 3 Peratus





Klinik dan hospital swasta yang menaikkan caj perubatan melebihi tiga peratus selepas pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan disiasat.

Pengarah Kastam Bahagian GST, Datuk T. Sobromaniam berkata, kajian mendapati GST hanya menyebabkan caj perubatan meningkat antara dua hingga tiga peratus.

Berikutan daripadanya, beliau berkata, Kastam akan melakukan siasatan jika klinik dan hospital swasta menaikkan harga melebihi kadar tersebut.

Jelasnya, hospital tidak boleh mengenakan GST ke atas pesakit tetapi doktor luar yang bukan doktor tetap hospital berkenaan akan dikenakan GST jika memberi rawatan kepada pesakit.

"Dalam keadaan ini, kos hospital dan klinik swasta akan meningkat, tetapi bukan sehingga enam peratus," katanya kepada Sinchew Daily.

Menurutnya lagi, banyak perkhidmatan bukan rawatan seperti makan minum pesakit serta bayaran untuk wad pesakit adalah dikenakan cukai perkhidmatan selama ini.

Jelasnya, cukai perkhidmatan pada kadar enam peratus bagaimanapun akan digantikan dengan GST apabila cukai baharu itu diperkenalkan.

"Di bawah sistem GST, wad dan makanan untuk pesakit tidak akan dikenakan GST. Dalam hal ini, klinik dan hospital swasta dapat melakukan penjimatan.

"Mereka juga tidak boleh menaikkan harga dengan alasan kos meningkat," katanya.

Menurut Sobromaniam, kenaikan caj perubatan sebanyak tiga peratus sudah memadai untuk menimbulkan keraguannya.



- malaysiagazette.com

Related Posts :

0 Response to "Klinik, Hospital Swasta Tak Boleh Naik Harga Melebihi 3 Peratus"

Post a Comment