
IBU mangsa, Ong Kai Yun dan mangsa, Kee Shao Ming (gambar kecil). - Foto Mohd Azren Jamaludin
Johor Bahru: Sepasang suami isteri mendakwa sebuah pusat penjagaan kanak-kanak cuai sehingga mengakibatkan anak lelaki mereka yang berusia tujuh tahun meninggal dunia akibat tercekik ketika makan cekodok pisang di pusat itu Jumaat lalu.
Ibu mangsa, Ong Ki Yul, 32, berkata anak bongsu daripada dua beradik itu, Kee Sau Ming disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI), dekat sini, selepas di bawa dari pusat penjagaan terbabit selepas muntah dan pengsan.
"Kira-kira jam 7.30 pagi, saya menghantar Sau Ming dan kakaknya berusia lapan tahun ke pusat jagaan di Austin Perdana di sini, bersama bekalan makanan cucur pisang kerana mereka bersekolah pada sesi petang di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Foon Yew 5 di Taman Mount Austin.
"Kira-kira jam 8 pagi ketika saya dalam perjalanan ke tempat kerja selepas menghantar mereka, petugas di pusat jagaan menghubungi saya dan memberitahu Sau Ming muntah sebelum pengsan," katanya ditemui di rumahnya di Taman Setia Indah, di sini hari ini.
Ki Yul berkata, dia yang panik dengan berita itu kemudiannya terus mengarahkan petugas terbabit supaya menghantar anaknya ke HSI bagi mendapatkan rawatan.
"Saya tiba di HSI setengah jam kemudian sebelum mendapati anak saya berada di dalam wad kecemasan. Doktor memberitahu peluang anak saya untuk hidup amat tipis dengan bibir dan semua kukunya sudah berubah kepada warna hitam.
"Selepas 12 jam dirawat, doktor mengesahkan Sau Ming sudah tiada dan mereka turut menemui ketulan cucur pisang tersekat di rongga pernafasannya," katanya.
Ki Yul berkata, dia dan suaminya, Kee Yong Wen, 43, kecewa dengan pusat penjagaan terbabit yang disifatkan cuai sehingga mengakibatkan kematian anaknya.
"Kedua-dua anak saya ditempatkan di pusat penjagaan terbabit sejak Disember lalu kerana saya dan suami bekerja. Mereka dijaga pada waktu pagi saja sementara menunggu untuk ke sekolah pada sesi petang.
"Kini, anak bongsu saya sudah tiada. Sau Ming seorang yang ceria dan bijak di sekolah. Satu-satunya anak lelaki saya sudah tiada," katanya yang membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Setia Indah di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh mengesahkan kejadian dan memberitahu kes terbabit diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
- bharian.com.my
0 Response to "Budak Maut Tercekik Cekodok Pisang"
Post a Comment