Hot !

Wartawan Diugut 2 Kali Tulis Berita 33 Lelaki Buat Kacau Sempena Thaipusam






Seorang wartawan wanita akhbar berbahasa Tamil di George Town, Pulau Pinang sekali lagi menerima ugutan daripada individu tidak dikenali berikutan penyiaran berita penahanan 33 lelaki, Khamis lepas, yang disyaki cuba menimbulkan kekacauan sempena sambutan perayaan Thaipusam.

Kali ini, wartawan berkenaan mendakwa menerima ugutan berbunyi 'untuk menghabiskan dia' sekiranya terserempak dengannya di Pulau Pinang, daripada seorang lelaki melalui panggilan telefon pada pukul 9.11 malam tadi.

"Dia juga menggertak mahu ke rumah saya di Ipoh, Perak untuk berbuat sesuatu dan menyatakan beberapa kali yang dia pasti akan 'menghabiskan' saya secepat mungkin," katanya ketika dihubungi semalam.

Sehubungan itu, beliau membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut pada pukul 11.35 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi berkata pihaknya sedang mengesan suspek menerusi nombor telefon yang digunakan untuk membuat panggilan kepada wartawan wanita itu.

Pada 28 Januari lepas, wartawan itu mendakwa menerima panggilan telefon mengugut untuk memukul dan mengambil tindakan mahkamah terhadap beliau ekoran penyiaran berita berkenaan. ? Bernama, 3 Februari, 2015.



sumber: themalaysianinsider.com

0 Response to "Wartawan Diugut 2 Kali Tulis Berita 33 Lelaki Buat Kacau Sempena Thaipusam"

Post a Comment