Hot !

Wartawan Australia Diusir Dari Indonesia




JAKARTA, 28 Februari: Seorang wartawan Australia diusir dari Indonesia, kerana didapati membuat liputan berita mengenai dua pengedar dadah Australia yang menanti dijatuhkan hukuman mati, tanpa visa wartawan.

Wartawan Daily Mail, Candace Sutton ditahan pegawai imigresen untuk disoal siasat, pada Rabu lalu, ketika dia sedang menemubual saudara seorang daripada pesalah Australia itu di Bandar Cilacap.



Sutton telah diusir dari Indonesia dan menaiki pesawat Qantas balik ke Australia, pada Jumaat. - Foto www.news.com.au


Bandar itu terletak berhampiran penjara, di mana pengedar dadah dari Australia, Myuran Sukumaran, 33, dan Andrew Chan, 31 sedang menunggu masa untuk menjalani hukuman mati oleh pasukan menembak, yang dibantah Canberra.

“Kami telah mengusir wartawan itu kembali ke Australia, semalam, dengan menaiki pesawat Qantas,” kata pegawai imigresen, Yan Wely Wiguna kepada AFP.

Menurut Jabatan Imigresen Indonesia, Sutton telah melanggar undang-undang imigresen, kerana gagal menunjukkan visa wartawan.

Sebaliknya, dia bekerja di Indonesia menggunakan visa pelancong yang dibelinya setibanya di Indonesia.

Kedua-dua warga Australia itu adalah antara warga asing, termasuk seorang rakyat Perancis dan Brazil yang menunggu masa untuk menjalani hukuman mati.

Setakat ini, belum ada tarikh ditetapkan untuk pelaksanaan hukuman mati itu.

Canberra telah berulang kali merayu Indonesia tidak melaksanakan hukuman mati terhadap dua rakyatnya itu dan meminta pesalah dadah berkenaan diberikan lebih banyak masa untuk bersama keluarga mereka.

Hubungan Jakarta-Canberra kembali tegang, selepas Indonesia menuduh Perdana Menteri Australia, Tony Abbott membuat ugutan untuk menyelamatkan kedua-dua rakyatnya itu.


- therakyatpost.com

0 Response to "Wartawan Australia Diusir Dari Indonesia"

Post a Comment