Hot !

KPDNKK Kesan Stesen Kehabisan Minyak Sengaja Tidak Buat Pesanan Minyak






KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak mencatatkan satu kes di bawah Peraturan 21(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, selepas sebuah stesen minyak di Bintulu dikesan dengan sengaja tidak membuat pesanan minyak.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri Sarawak, Abdul Hafidz Abdul Rahim, berkata hasil pemeriksaan KPDNKK negeri mendapati stesen minyak itu kehabisan bekalan sejak 3 petang semalam.

"Kita akan siasat perkara ini dan sekiranya didapati bersalah kita akan mendakwa pengusaha stesen minyak terbabit," katanya dan menambah denda maksimum bagi kesalahan itu adalah RM1 juta atau tiga tahun penjara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek, semalam mengumumkan penurunan harga petrol dan diesel bagi bulan ini.

Sehubungan itu pemeriksaan dan pemantauan stesen minyak di seluruh negara diadakan dari semalam selepas 5 petang.

Bagi negeri Sarawak, KPDNKK melancarkan dua operasi serentak, iaitu Ops Catut (siang) dan pemantauan penyelarasan harga runcit petroleum sehingga pagi ini (Ahad).

Abdul Hafidz berkata, hasil pemeriksaan itu pihaknya mendapati stesen minyak lain di Sarawak mematuhi penurunan harga petroleum seperti yang diumumkan bagi bulan Februari.

Pemeriksaan di sekitar Kuching dan Kota Semarahan diketuai Abdul Hafidz manakala di peringkat cawangan diketuai ketua cawangan KPDNKK Sarawak masing-masing.

Katanya, 99 stesen minyak Shell, 84 Petronas dan 12 Excel serta 38 UMS (stesen mini tanpa jenama) diperiksa di seluruh negeri ini.

Di Kuching 42 stesen Petronas, Shell (50) dan Excel (5) diperiksa.

- BERNAMA

0 Response to "KPDNKK Kesan Stesen Kehabisan Minyak Sengaja Tidak Buat Pesanan Minyak"

Post a Comment