Hot !

Isteri Muda Menjerit Histeria Dapat Tahu Suami Baru Nikah 2 Bulan Kaki Dadah







Kuala Terengganu: Seorang isteri bagaikan terkena histeria apabila secara tiba-tiba menjerit sekuat hati selepas mendapat tahu suami dinikahinya sejak dua bulan lalu terbabit dalam kegiatan penagihan dadah.

Rahsia suami berusia 21 tahun itu menagih dadah terbongkar selepas ujian air kencing dilakukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu terhadapnya mendapati dia terbabit dalam pengambilan dadah jenis methamphetamine.

Jeritan isteri berusia 17 tahun itu menyebabkan suasana persekitaran pejabat berkenaan yang sebelum itu sepi bertukar bingit apabila wanita terbabit bagaikan hilang ingatan terus menjerit tanpa rasa malu terhadap anggota dan pegawai di kawasan berkenaan.

Simpati dengan nasib wanita berkenaan, anggota terbabit berusaha mententeramkan keadaan itu sebelum meredakan tangisan wanita berkenaan.

Lelaki terbabit dibawa ke IPD Kuala Terengganu selepas ditahan anggota trafik yang menjalankan Ops Khas Motosikal di sekatan jalan raya di Jalan Sultan Mohamad, di sini, ketika cuba meloloskan diri jam 10 malam kelmarin.

Cubaan lelaki berasal dari Ajil, Hulu Terengganu terbabit gagal apabila motosikal Honda EX5 dinaiki bersama isteri terbabas sebelum terbalik sebaik melepasi sekatan jalan raya berkenaan.

Wanita terbabit ketika ditemu bual Harian Metro di tempat kejadian berkata, sebelum kejadian dia dan suami dalam perjalanan dari rumah mentua di Ajil, Hulu Terengganu ke rumah ibunya di Kampung Alor Ketitir, Merchang, Marang.

Katanya, dia tidak menyangka suaminya cuba melarikan diri kerana pada mulanya lelaki terbabit mahu memberhentikan motosikal selepas polis mengarahkannya berbuat demikian sebaik melalui sekatan jalan raya.

Ini kejadian pertama saya lalui (jatuh motosikal) dan mengakui terkejut dengan tindakan suami yang cuba melarikan diri, katanya sebelum dia dan suami dibawa ke IPD Kuala Terengganu untuk ujian air kencing.

Lelaki terbabit ketika ditemui berkata, dia mengambil tindakan itu kerana takut berikutan tidak memiliki lesen dan cukai jalan tamat tempoh selain masih memiliki beberapa saman belum dijelaskan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Superintendan Nik Md Zain Nik Omar yang mengetuai operasi berkenaan berkata, Ops Khas Motosikal dilakukan serentak di seluruh negara bermula malam kelmarin memfokuskan kesalahan membabitkan pengubahsuaian struktur kenderaan selain membendung gejala rempit yang membabitkan sebilangan besar golongan pelajar.

Operasi malam ini (kelmarin) turut menahan tiga lelaki berusia 20-an kerana terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.

Selain motosikal, kita juga menjalankan pemeriksaan terhadap kenderaan awam serta perdagangan dan saman dikeluarkan kepada pemandu yang melakukan kesalahan, katanya ketika ditemui selepas operasi di Jalan Sultan Mahmud, di sini.



sumber: hmetro.com.my

0 Response to "Isteri Muda Menjerit Histeria Dapat Tahu Suami Baru Nikah 2 Bulan Kaki Dadah"

Post a Comment