Hot !

Detik Cemas Juruwang, Diserbu Lelaki Berparang



PASIR GUDANG - Seorang juruwang sebuah stesen minyak di Taman Rinting, di sini, berdepan detik cemas ketika didatangi tiga lelaki bertopeng mengacu parang panjang dalam kejadian rompakan, malam Ahad lalu.

Mangsa dikenali sebagai Lina, 22, berkata, kejadian berlaku sekitar jam 8.15 malam ketika dia berada di kaunter sedang melayan pelanggan yang membuat pembayaran.

Bagaimanapun menurutnya, tindakan sebuah kereta berhenti secara mengejut di hadapan pintu stesen minyak itu sebelum tiga lelaki bertopeng membawa parang panjang meluru masuk sangat mengejutkan.


Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian rompakan yang menjadi viral di laman sosial Facebook




Saya tergamam dan tak mampu buat apa-apa kerana melihat parang panjang sudah berada betul-betul di hadapan muka saya.

Mereka paksa saya menunjukkan tempat simpanan wang lain, namun saya beranikan diri menjawab tak ada lagi wang dalam kedai ini, katanya.

Lina berkata, perompak terus menggeledah sekitar kaunter dan dalam pejabat tanpa ada sesiapa datang menghulurkan bantuan, malah pelanggan yang berada di luar kedai melarikan diri kerana terlalu takut.

Saya cuba bertenang dan ingin minta bantuan pelanggan, tapi saya lihat pelanggan yang tadinya agak ramai di luar sudah melarikan diri meninggalkan stesen minyak.

Selepas tidak menemui sebarang wang, semua lelaki itu meninggalkan kedai dan masuk ke kereta Proton Persona yang dipandu seorang lagi individu, katanya.

Sementara itu, pemilik stesen minyak ingin dikenali sebagai Tam berkata, kejadian itu pertama kali berlaku selepas Jun tahun lepas dia dirompak dua lelaki secara individu.

Dia berharap, pihak polis dapat melakukan rondaan secara kerap dan membina sebuah pondok polis di kawasan itu kerana lokasinya agak jauh dengan balai polis berhampiran.

Jun tahun lepas saya rugi lebih RM400 bila dirompak dua lelaki ketika ke tandas di belakang stesen minyak.

Kali ini saya rugi lebih RM4,000 termasuk wang tunai, rokok dan kerosakan yang dilakukan tiga perompak yang menyerbu masuk ke premis saya,? katanya.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Abdul Samad Salleh berkata, siasatan masih dijalankan.



sumber: sinarharian.com.my

0 Response to "Detik Cemas Juruwang, Diserbu Lelaki Berparang"

Post a Comment