Hot !

Apple Watch Mungkin Dilancar 9 Mac Ini






NEW YORK: Apple Inc menghantar jemputan media untuk satu acara pada 9 Mac ini tetapi tidak menyatakan butiran majlis.

Jemputan misteri itu sekali gus membuatkan ramai terfikir ia adalah pelancaran Apple Watch yang sudah diperkenalkan kepada umum September tahun lalu. Ketika itu, Apple membayangkan jam pintar itu akan dilancarkan pada April tahun ini.


Tertera pada kad jemputan adalah 'Cepatkan Jam' merujuk kepada perubahan masa yang mana menjelang musim bunga, waktu di Amerika Syarikat akan dipercepatkan sejam dan tahun ini ia akan bermula 8 Mac ini.

Mengikut Apple, acara itu akan bermula jam 10 pagi di Yerba Buena Center, San Francisco.

Apple Watch adalah peranti baharu pertama syarikat itu sejak memperkenalkan iPad pada 2010, sekali gus ia juga adalah yang pertama di bawah Ketua Pegawai Eksekutif sekarang, Tim Cook.

Apple sebelum ini membayangkan harga model asas jam pintar itu akan bermula dari AS$349 (RM1,260) di Amerika Syarikat. Jam pintar itu akan ditawarkan dalam dua saiz menerusi tiga koleksi keluaran termasuk 'Edisi Apple Watch' yang menampilkan kemasan emas kuning atau merah 18-karat, dengan kaca nilam serta padanan gelang jam yang sangat menarik.

Pemerhati berpendapat potensi pertumbuhan produk sebegitu sangat besar berikutan minat terhadap peranti komputer boleh dipakai yang semakin mendapat perhatian pengguna dewasa ini.

Apple Watch ditampilkan dengan skrin sesentuh segi empat tepat, dengan pelbagai pengimbas termasuk untuk mengesan nadi dan ciri kesihatan lain serta perlu dipadankan dengan iPhone untuk beroperasi dengan optimum.

Dalam pada itu, Morgan Stanley mengunjurkan Apple akan meraih jualan AS$8.1 bilion (RM29.2 bilion) pada tahun kewangan 2015 termasuk AS$1.35 bilion (RM4.9 bilion) pada suku berakhir Mac ini, manakala RBC Capital Markets pula membuat unjuran konservatif Apple akan meraih AS$6.5 bilion (RM25.3 bilion) termasuk daripada jualan 20 juta Apple Watch pada tahun kewangan semasa.

Pada seminar anjuran Goldman Sachs Group Inc awal bulan ini, Cook menjelaskan fungsi jam pintar Apple Watch, terutama untuk menjejak tahap aktiviti penggunanya.

"Jika saya duduk terlalu lama, jam itu akan bergegar dan mengingatkan saya untuk bangun dan bergerak kerana ramai doktor percaya duduk adalah satu kanser pada zaman baharu.

"Ini akan membuatkan anda terfikir, ..bolehkah saya hidup tanpa Apple Watch," kata Cook. - Bloomberg


Sumber

0 Response to "Apple Watch Mungkin Dilancar 9 Mac Ini"

Post a Comment