Hot !

20 Hari Untuk Keluarkan Batu Kristal Gergasi

type='html'>



ALOR SETAR - "Kami mengambil masa 20 hari untuk keluarkan batu kristal bersaiz gergasi seberat 1,300 kilogram (kg) ini," kata Mahadi Mat Akhir.

Mahadi, 49, berpengalaman lebih 20 tahun mencari batuan di Gua Gunung Keriang berkata, minatnya itu dalam bidang itu memberi sedikit kelebihan untuk menjejaki kawasan batuan kristal melalui pemerhatian terhadap saluran air yang terdapat pada dinding gua.

"Jika diikutkan lokasi batu kristal yang dijumpai itu adalah kawasan yang pernah saya korek sejak empat tahun lalu. Namun pada Mei tahun lalu baharu saya dapat mengesan kedudukannya terletak di pelusuk dalam gua.

 


Mahadi melihat batu dipenuhi kristal yang ditemuinya




"Melihat kesukaran yang bakal dihadapi, saya terpaksa meminta bantuan dua lagi rakan untuk mengeluarkan batu kristal itu pada Jun lalu," katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Menurutnya, mereka mengambil masa kira-kira 15 hari untuk mengorek serta memotong batu kristal itu dari dinding gua.

"Dua hari kemudian, proses menaikkan batu itu dengan jarak 14 meter ke permukaan menggunakan lima tali serta peralatan yang bersesuaian. Tiga hari seterusnya digunakan untuk membawa keluar batu itu dari gua.

"Proses mencabar itu perlu dilakukan dengan berhati-hati kerana selain berat, jalan yang dilalui untuk membawa keluar batu curam yang berbeza jika berjalan tanpa membawa sebarang bebanan," katanya.

Mahadi berkata, walaupun pernah menemui batu kristal lebih cantik dari itu namun saiznya kecil.

"Jika diperhatikan hampir segenap ruang dalam batu ini dipenuhi kristal dan mampu menarik pandangan sesiapa yang memandangnya.

"Buat masa sekarang batu kristal yang berharga dalam lingkungan RM30,000 itu diletakkan di kedai bagi memberi peluang kepada orang ramai melihat sendiri bentuk asalnya," katanya.

Beliau sanggup menjualnya jika ada mana-mana pihak yang sanggup membeli dengan harga ditawarkannya itu.

"Penggemar batu selalunya dari kalangan masyarakat Cina. Mereka percaya jika kristal diletakkan di tempat bersesuaian boleh membawa tuah, aura positif kepada pemiliknya kerana sifat semula jadinya dari air dan boleh memberi ketenangan kepada mata yang memandang," katanya.



Sumber

0 Response to "20 Hari Untuk Keluarkan Batu Kristal Gergasi"

Post a Comment