Hot !

Uniform Kami Dihanyutkan Banjir




KOTA BHARU - Sesi persekolahan di Kelantan bermula secara rasminya, semalam selepas ditunda seminggu akibat bah besar yang melanda negeri ini.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa buah sekolah rendah di bandar Kota Bharu, di sini, berlangsung tenang dan aman dengan murid-murid berpakaian seragam sekolah yang baru. Cuaca pagi semalam di bandar ini cerah dan hujan sekejap pada jam 11.20 kemudian berhenti pada tengah hari.

 



Pelajar gembira mendapat baju yang diberikan oleh pihak sekolah.



Hanya di Sekolah Kebangsaan Kampung Sireh yang hampir keseluruhan muridnya adalah mangsa banjir, ada yang hadir ke sekolah tanpa uniform lengkap kerana dihanyutkan air, namun bilangannya hanya 13 sahaja.

Seorang daripada mereka, Alif Amin Abdullah, 8, berkata, dia tinggal di Jalan Gajah Mati, di sini, dan turut menjadi mangsa banjir sehingga memaksa dia dan keluarga berlindung di pusat pemindahan. Semua kelengkapan sekolah termasuk baju dan kasut yang dibeli sebelum ini hilang entah ke mana.

Masa itu air banjir naik sehingga takat hidung saya dan saya berenang untuk menyelamatkan diri. Saya sudah minta umi belikan baju baru, tetapi katanya tidak cukup duit. Sebab itu, hari ini saya pakai t-shirt dan jeans sahaja, katanya.

Seorang lagi murid berkenaan, Amalin Shuhada Rizal, 7, berkata, pengalaman pertama kali masuk ke sekolah rendah, semalam sangat menyeronokkan walaupun hanya berbaju kurung biasa kerana uniform sekolah dihanyutkan banjir.

Saya seronok walaupun hanya pakai dapat pakai tudung putih, sebab di sini ada ramai kawan baru,? katanya yang memulakan sesi persekolahan pertama bersama 40 murid seusianya.

Sebanyak 80 peratus pelajar tahun satu sekolah berkenaan adalah mangsa banjir dengan 55 peratus daripadanya di tahap kritikal, 22.5 peratus sederhana, manakala 2.5 peratus pada tahap ringan.

Sementara itu, seorang lagi kanak-kanak, Mohd Hariri Mohamad berkata, dia tidak malu untuk ke sekolah, semalam walaupun kawan-kawan lain memakai uniform lengkap, sebaliknya gembira apabila namanya dipanggil untuk menerima baju sekolah baru yang disampaikan oleh pihak sekolah.

Baju sekolah saya sudah tidak ada, tetapi saya seronok pada hari ini apabila dapat baju baru. Saya nak satu sahaja baju tu, katanya.

0 Response to "Uniform Kami Dihanyutkan Banjir"

Post a Comment