Hot !

Subaru Panggil Balik 199,000 Kereta Kerana Masalah Brek Berkarat







DETROIT, 8 Januari: Subaru memanggil balik kira-kira 199,000 kereta serta kenderaan utiliti sukan (SUV) buat kali kedua, susulan masalah saluran brek berkarat yang boleh menyebabkan kebocoran bendalir dan jarak berhenti lebih panjang.

Ia membabitkan model Forester dari 2009 hingga 2013, Impreza dari 2008 hingga 2011, WRX serta WRX-STI dari 2008 hingga 2014.

Masalah itu boleh menjejaskan kenderaan di Washington dan 20 negeri lain di Amerika Syarikat yang dilanda cuaca sejuk, di mana garam digunakan untuk mencairkan salji yang menutupi jalan raya.

Panggilan balik itu membabitkan kenderaan yang didaftar atau dijual di Connecticut, Delaware, Illinois, Iowa, Indiana, Maine, Maryland, Massachusetts, Michigan, Minnesota, Missouri, New Hampshire, New Jersey, New York, Ohio, Pennsylvania, Rhode Island, Vermont, West Virginia, Wisconsin dan Washington.

Subaru dalam dokumen yang disiarkan Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuh Raya Nasional, pada Khamis menjelaskan, air garam boleh terpercik ke saluran brek menerusi ruang dalam pelindung tangki minyak.

Ia seterusnya boleh menyebabkan saluran itu berkarat dan bocor.

Panggilan balik untuk masalah sama pada tahun lalu tidak berhasil, disebabkan arahan pembaikan yang tidak lengkap kepada pembekal.

Pembekal akan meletakkan lilin rintangan kakisan di penyambung saluran brek secara percuma kepada pemilik kenderaan.

Menurut Subaru, pemandu akan diberi amaran mengenai kebocoran saluran brek melalui lampu yang bernyala di papan pemuka.

Brek masih boleh berfungsi walaupun berlaku kebocoran, namun pemandu mungkin perlu menekan pedal lebih kuat untuk memberhentikan kenderaan.


sumber: bm.therakyatpost.com

0 Response to "Subaru Panggil Balik 199,000 Kereta Kerana Masalah Brek Berkarat"

Post a Comment