Hot !

Ribuan Pakaian Terpakai Sumbangan Banjir Berselerak Terbiar







Gua Musang: Ribuan pakaian terpakai sumbangan orang ramai didapati dilonggok dan berselerak di merata tempat di sekitar bandar ini sejak banjir surut kira-kira dua minggu lalu.

Antara tempat yang menjadi longgokan pakaian terpakai itu adalah di pondok dan dewan orang ramai termasuk Dewan Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) KESEDAR Sungai Terah, di sini.

Selain itu, mangsa banjir dikatakan lebih mengharapkan menerima sumbangan pakaian seragam sekolah anak selain pakaian lelaki dan kanak-kanak.

Seorang mangsa banjir, Munah Ahmad, 57, berkata, kebanyakan kenderaan yang membawa pakaian terpakai melonggokkannya di dewan itu kerana tempat terbabit menjadi tumpuan mangsa banjir.

Katanya, hanya dua hari selepas banjir surut, orang ramai yang tidak mempunyai pakaian mencari pakaian terpakai di dewan berkenaan sebelum pulang ke rumah masing-masing.

?Mangsa banjir kini lebih pentingkan pakaian seragam sekolah menjelang sesi persekolahan pada 11 Januari ini.

?Pakaian seragam yang dibeli sebelum bencana banjir kebanyakannya sudah hilang dihanyutkan air dan kini kami terpaksa membeli pakaian baru,? katanya.

Rakannya, Suhaimi Nordin, 36, berkata, kebanyakan pakaian terpakai sumbangan orang ramai adalah pakaian wanita sehingga menyebabkan berlaku lambakan di kawasan terbabit.

?Bagaimanapun, pakaian lelaki dan kanak-kanak sangat terhad berbanding pakaian wanita.

?Kebanyakan penduduk yang terbabit banjir baru-baru ini tinggal sehelai sepinggang kerana tidak sempat mengambil pakaian berikutan air naik cepat,? katanya.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro mendapati tiada lagi longgokan atau sumbangan orang ramai yang diterima sama ada badan bukan kerajaan (NGO) atau orang perseorangan berbeza minggu sebelumnya di beberapa kawasan di negeri ini berikutan cuaca baik dan kebanyakan mangsa banjir sudah pulang ke rumah masing-masing.

Sebelum ini pusat pemindahan banjir menjadi lokasi utama pelbagai pihak menghulurkan sumbangan, namun selepas pusat itu ditutup, ada juga NGO atau orang perseorangan menghulurkan sumbangan kepada mangsa melalui kaedah dari rumah ke rumah.

Pada masa sama, Tentera Darat (TD) memaklumkan Pusat Pengumpulan Barangan Mangsa Banjir bagi kawasan 4 Divisyen akan ditutup berkuatkuasa mulai jam 10 pagi, hari ini.

Antara kem berkenaan ialah Kem Wardieburn, Kem Sungai Besi, Kem Sungai Buloh dan Kem Batu Kentomen.

TD juga mengucapkan terima kasih atas rasa prihatin dan simpati seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dalam memberi sumbangan membantu mangsa banjir.





sumber: hmetro.com.my

0 Response to "Ribuan Pakaian Terpakai Sumbangan Banjir Berselerak Terbiar"

Post a Comment