Hot !

Pengguna Dinasihat Lebih Berhati-Hati Guna Jalan Gua Musang-Lojing






GUA MUSANG: Orang ramai yang menggunakan Jalan Gua Musang-Lojing dinasihat supaya lebih berhati-hati berikutan kerja pembaikan sedang dijalankan di lereng bukit runtuh atau jalan mendap akibat banjir bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, lima lokasi di jalan berkenaan yang terjejas teruk ialah di Kilometer (KM) 32.5, KM36, KM42, KM45 dan KM54 tetapi masih boleh dilalui semua kenderaan menggunakan laluan lencongan yang dibina di lokasi terbabit.

"Jika memandu dalam keadaan terburu-buru, ia boleh mengundang bahaya," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Saiful Bahri juga berkata setakat ini hanya Jalan Gua Musang-Jeli masih terputus hubungan kerana jambatan di Kampung Pulau Setelu yang merentangi sungai Nenggiri di sini runtuh akibat banjir.

Beliau berkata, namun pengguna masih mempunyai jalan alternatif melalui Jalan Sungai Sam-Dabong.

Katanya, bagi Jalan Gua Musang-Kuala Berang kini boleh dilalui semua kenderaan kerana lokasi yang rosak akibat banjir sudah dibaik pulih.

"Memang ketika banjir baru-baru ini ada halangan bagi pengguna melalui jalan itu yang bukan sahaja berlaku lereng bukit runtuh, tetapi ditenggelami air," katanya. - BERNAMA

0 Response to "Pengguna Dinasihat Lebih Berhati-Hati Guna Jalan Gua Musang-Lojing"

Post a Comment