Hot !

Harga minyak terus jatuh walaupun China tingkatkan import







SINGAPURA: Harga minyak dunia terus jatuh dengan kontrak penanda aras Brent susut ke paras terendah dalam enam tahun walaupun China meningkatkan import minyak.

Kedua-dua kontrak Brent dan West Texas Intermediate (WTI) jatuh ke paras terendah sejak awal 2009 kerana lebihan bekalan tetapi permintaan kekal rendah. Harga minyak sudah jatuh hampir 60 peratus daripada paras tertinggi pada Jun 2014.

"Lebihan bekalan dan kekurangan permintaan masih mendominasi pasaran minyak. Jika keadaan itu berterusan, harga akan terus turun," kata firma penyelidikan berpangkalan di sini, Phillip Futures dalam nota hari ini.

Kontrak Brent untuk penghantaran Februari jatuh ke paras serendah AS$46.39 (RM163) sebelum naik sedikit kepada AS$46.53 (RM163.55) menjelang penutupan tengah hari manakala WTI pada AS$45.35 (RM159.40) selepas mencecah paras terendah AS$45.18 (RM158.80).

Penganalisis di Goldman Sachs pula mengunjurkan harga purata Brent AS$50.40 (RM177) setong pada tahun ini, turun daripada unjuran sebelum ini AS$83.75 (RM294). Firma itu turut menurunkan unjuran harga purata WTI tahun ini kepada AS$47.15 (RM165.70) daripada AS$73.75 (RM259).

Macquarie Bank, Australia pula mengunjurkan harga Brent akan berlegar sekitar AS$50-60 setong pada separuh pertama tahun ini, sebelum meningkat kepada AS$85 (RM299) menjelang hujung tahun apabila keadaan permintaan dan penawaran kembali stabil. - Reuters

0 Response to "Harga minyak terus jatuh walaupun China tingkatkan import"

Post a Comment