Hot !

Pengayuh Basikal Wan Hashim Jangka Tiba Di Kota Bharu Seminggu Lagi




KOTA BHARU: Warga emas Wan Hashim Wan Mahmood yang sedang melakukan misi kayuhan basikal mengelilingi Asia Tenggara, tiba di Singapura hari ini.

"Alhamdulillah Pak Wan (Wan Hashim) sudah tiba di Singapura pada kira-kira 8 pagi tadi dan akan kembali ke Johor Bahru lewat petang ini," katanya ketika dihubungi Bernama.

 



Pengayuh basikal warga emas, Wan Hashim, 69, dijangka tiba di Kota Bharu seminggu lagi. - Foto Zaman Huri Isa

 



Wan Hashim, 69, berkata, beliau akan berkayuh ke Kota Tinggi esok sebelum bergerak ke Pahang dan Terengganu, dan menamatkan kayuhan di Kota Bharu.

Setelah lebih 4,000 kilometer berkayuh merentasi Vietnam, Laos, Thailand, Malaysia dan Singapura, datuk kepada 18 cucu itu dijangka tiba di sini kira-kira seminggu lagi, lebih awal daripada sasaran asal iaitu hujung bulan depan.

Semalam, Wan Hashim memasuki Pulau Batam, Indonesia sebelum berpatah balik ke Johor Baharu menginap semalaman sebelum ke Singapura hari ini.

Wan Hashim berkata kesan terjatuh basikal pada 3 Jan lalu di Slim River, beliau masih terasa sakit di bahagian lutut dan tepi perut.

Penghujung bulan lalu, Wan Hashim yang ditemani rakannya Abdul Khalib Zakaria, 44, tiba di Padang Besar, Perlis selepas selesai menjelajah Vietnam, Laos dan Thailand.

Wan Hashim dan Abdul Khalib memulakan kayuhan dari Ho Chi Minh, Vietnam pada 4 Disember lepas.

Abdul Khalib bagaimanapun tidak mengikuti Wan Hashim untuk menghabiskan kayuhan dari Perlis ke Kota Baharu.

Warga emas itu berkata buat pertama kalinya selepas memulakan kayuhan dari Vietnam, akhirnya semalam beliau dapat bermalam di sebuah hotel bajet.

"Sebelum ini Pak Wan tidur menggunakan khemah semasa di luar negara.

"Sejak dari Perlis, Pak Wan hanya tidur di perhentian bas dan surau kerana kewangan yang terhad tetapi malam tadi dapatlah merasa tidur di hotel murah di Johor Baharu," katanya. - BERNAMA

0 Response to "Pengayuh Basikal Wan Hashim Jangka Tiba Di Kota Bharu Seminggu Lagi"

Post a Comment