Hot !

Pawagam Untuk Orang Buta Yang Pertama Di Asia Tenggara Dibuka Di Kompleks MAB




KUALA LUMPUR, 15 Januari: Buat julung kalinya panggung wayang khas untuk golongan yang menghadapi masalah penglihatan dibuka di ibu kota dan ia merupakan yang pertama di Asia Tenggara.

Panggung wayang tersebut merupakan hasil kerjasama antara Maybank dan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) dan terletak di Kompleks MAB di Brickfields di sini.

 


Amirul Feisal (kiri) dan Ganesan Supayah (kanan) memegang replika tiket wayang sempena pelancaran panggung wayang khas untuk golongan cacat penglihatan di Kompleks MAB, Brickfields di sini hari ini. - Foto TRP/Ikhwan Hazwan

 


Ia mampu untuk memuatkan sehingga 180 orang penonton pada satu-satu masa dan menyediakan paparan disertai dengan Penerangan Suara (AD).

Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Datuk Ganesa Supayah berkata tayangan AD tersebut turut menyediakan imej paparan sepanjang filem ditayangkan namun turut dilengkapi dengan penerangan bagi setiap paparan, gantian pakaian dan pergerakan badan antara dialog dan lagu.

Jelasnya, kekurangan dari segi penglihatan tidak menjadi penghalang kepada mereka untuk menikmati tayangan gambar dengan ciri penerangan audio yang membolehkan mereka membayangkan jalan cerita dengan mendengar dari hati dan minda.

Pada ketika ini MAB hanya mempunyai dua buah filem Bahasa Inggeris yang dilengkapi dengan teknologi berkenaan yang dibeli secara dalam talian namun akan cuba untuk menyediakan filem Melayu dan juga bahasa lain pada masa akan datang.

Sesi tayangan dua filem tersebut iaitu "Ender's Game" dan "The Hunger Games: Catching Fire" akan dibuat secara bulanan untuk tontonan semua warga MAB dan juga komuniti cacat penglihatan di seluruh Malaysia dan juga dunia secara percuma, katanya.

Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Kumpulan Perbankan Global (GB) Maybank, Amirul Feisal Wan Zahir di sini hari ini.

Dalam pada itu, Amirul Feisal berkata kerjasama tersebut merupakan sebahagian daripada program sukarelawan kakitangan GB Maybank yang mempunyai misi untuk menginsankan perkhidmatan kewangan.

Katanya, pihaknya telah bekerjasama erat dengan MAB sejak Julai 2013 dan pada awal tahun lalu MAB telah menyatakan hasrat untuk mewujudkan panggung wayang tersebut bagi memberikan pengalaman sebenar menonton wayang kepada komuniti tersebut.

Kami menganjurkan beberapa program mengumpul dana dan dengan sedikit sumbangan daripada Maybank, kira-kira RM30,000 telah berjaya dikutip dan digunakan untuk membina panggung wayang AD di Kompleks MAB, ujarnya.



sumber: therakyatpost.com

0 Response to "Pawagam Untuk Orang Buta Yang Pertama Di Asia Tenggara Dibuka Di Kompleks MAB"

Post a Comment