Hot !

Mayat Terlalu Reput Sukarkan Bedah Siasat - Polis






JEMPOL: Keadaan mayat yang terlalu hancur, reput serta berkemungkinan telah dimakan haiwan liar, menyukarkan proses bedah siasat mayat seorang lelaki yang ditemui di sebuah ladang getah di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Jempol, Supt Hamzah Alias, berkata proses mengenal pasti identiti serta punca kematian mangsa yang mayatnya ditemui di ladang getah di Kilometer 15, Jalan Bahau-Rompin itu dilakukan di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.

"Mayat lelaki dalam keadaan tertiarap dan lengkap berpakaian itu ditemui pengembala kambing berusia 40 tahun pada pukul 5.30 petang. Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui di sisi mayat itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Di samping itu, Hamzah berkata pihaknya turut menyiasat kes pembunuhan seorang lelaki warga India yang mayatnya ditemui di tepi jalan di Kilometer 10, Jalan Bahau-Rompin di sini pada pukul 8 malam, 3 Januari lepas.

"Mayat lelaki berusia 24 tahun itu dijumpai dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah berdekatan sebuah motosikal. Pada mulanya disangka mangsa terlibat dalam kemalangan, namun pemeriksaan mendapati ada kesan tetakan di kepala dan tikaman di perut mangsa, dipercayai dibunuh.

"Kami masih menyiasat sama ada mangsa yang ditemui Selasa lepas adalah rakan simati dalam kejadian bunuh sebelum ini. Kami akan memanggil pihak pengurusan ladang dan rakan simati bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau meminta sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kedua-dua kes itu supaya tampil dan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol di talian 06-4582222 atau balai polis berhampiran.

sumber: BERNAMA

0 Response to "Mayat Terlalu Reput Sukarkan Bedah Siasat - Polis"

Post a Comment