Hot !

Nyawa Ibarat Telur Di Hujung Tanduk




PEKAN ? 'Nyawa ibarat telur di hujung tanduk', begitulah keadaan yang dihadapi 35 pekerja sebuah ladang dekat sini apabila nyaris maut setelah lori muatan satu tan yang dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terbalik berikutan salah satu daripada tayar kenderaan berkenaan pancit.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman berkata, kemalangan tersebut berlaku kira-kira jam 4 petang di kilometer 48 jalan Pekan-Nenasi ketika kesemua pekerja di dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing.

 



Pekerja sebuah ladang yang cedera terbaring di tepi jalan sementara menanti ambulan untuk di bawa ke hospital.

 



Beliau berkata, lori berkenaan adalah kenderaan yang dijadikan pengangkutan kepada pekerja ladang tersebut untuk pergi dan balik kerja.

"Kejadian terjadi berhampiran rumah pekerja ladang terlibat iaitu di sekitar kawasan Nenasi. Pemandu lori berusia 40-an hilang kawalan apabila sebiji tayar dipercayai di bahagian hadapan lori tiba-tiba pancit sebelum terbalik di tengah jalan.

?Kejadian itu menyebabkan 35 pekerja yang bersesak di bahagian belakang lori bergolek dan tertindih sesama sendiri sehingga menyebabkan majoritinya mengalami kecederaan,? katanya ketika dihubungi.

Yahaya berkata, orang ramai yang berada di tempat kejadian cuba membantu sebelum sepasukan bomba bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Nenasi tiba ke lokasi menyelamatkan pekerja yang tersepit.

?Setakat ini polis menerima laporan mengenai kecederaan yang dialami oleh kesemua mangsa. Namun, mengesahkan tiada kecederaan parah atau kematian yang dicatatkan selepas semua mangsa di bawa ke Hospital Pekan bagi tujuan rawatan lanjut.

Kes ini masih dalam siasatan lanjut polis," katanya sambil berpesan agar pengguna jalan raya lebih berhemah mematuhi undang-undang yang ditetapkan selain sentiasa peka memeriksa kenderaan masing-masing sebelum memulakan perjalanan.

Dalam pada itu, seorang pekerja ladang terlibat yang hanya mahu dikenali sebagai Wati, 30-an berkata, ketika kejadian berlaku dia sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya bersama rakan sekerja.

?Ketika sedang duduk dan berbual-bual di dalam lori tu... tiba-tiba kenderaan yang kami naiki tu hilang kawalan. Keadaan masa tu memang menakutkan, semua orang panik. Kami menjerit ketakutan kerana tak tahu apa yang berlaku.

?Kejadian sangat pantas... sedar-sedar je, lori yang kami naik tu terbalik. Semua orang dalam keadaan lintang pukang dan mengerang kesakitan. Saya sangat takut, alhamdulillah tiada kejadian hilang nyawa...? katanya yang mendapat rawatan di Hospital Pekan akibat kecederaan dialami.

0 Response to "Nyawa Ibarat Telur Di Hujung Tanduk"

Post a Comment