Hot !

Khutbah Jumaat Tidak Pernah Galak Ekstremisme - Jamil Khir







KUALA LUMPUR: Khutbah Jumaat tidak pernah sama sekali menggalakkan ekstremisme atau keganasan dalam sebarang bentuk seperti yang didakwa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Sebaliknya beliau, berkata khutbah adalah rukun dalam solat Jumaat yang disampaikan secara lisan dan berunsur pendidikan untuk memberi nasihat keagamaan, menaikkan semangat dan menimbulkan keinsafan.

"Ia juga menyampaikan dasar-dasar negara dan isu-isu semasa hanya sesama orang Islam. Adakah peringatan sesama umat Islam ini wajar dikatakan ekstrem?" katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sudah menjadi peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menerbitkan teks khutbah Jumaat dan menyelaras aktiviti di atas mimbar sebagaimana pentadbiran tempat ibadat agama lain yang mempunyai aktiviti dan pentadbiran tersendiri.

Sehubungan itu, beliau berkata tuduhan bahawa JAKIM sebagai badan yang mempromosi atau menggalakkan ekstremisme semasa khutbah Jumaat adalah perlakuan tidak bertanggungjawab dan amat serius.

"Tuduhan individu berkenaan bersifat provokasi kepada keharmonian antara agama yang dinikmati selama ini.

"Kenyataan beliau boleh disalah tafsir secara mudah bahawa ia merujuk kepada khutbah Jumaat," kata Jamil Khir mengenai kenyataan individu berkenaan yang dimuatkan dalam twitternya.

Memandangkan kenyataan individu itu yang sengaja mencetuskan sensitiviti kepada umat Islam, beliau meminta JAKIM membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk tindakan sewajarnya.

"Saya mengingatkan orang ramai supaya berhenti daripada terlibat mencipta atau menyebarkan sebarang bentuk maklumat yang boleh mengganggu keharmonian masyarakat," katanya.


sumber - BERNAMA

0 Response to "Khutbah Jumaat Tidak Pernah Galak Ekstremisme - Jamil Khir"

Post a Comment