Hot !

ERSC Urus Kecemasan Syarikat O&G








Tim Allsop memberi penerangan mengenai ERSC pusat latihan simulasi di pejabatnya.


WILD Geese Group Sdn Bhd (Wild Geese Group) bakal memperkenalkan satu inisiatif baharu dengan menubuhkan Pusat Perkhidmatan Maklum Balas Kecemasan (ERSC) di negara ini untuk pemain industri minyak dan gas (O&G).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tim Allsop berkata, ERSC akan bertindak sebagai pusat perkhidmatan luaran untuk tindak balas kecemasan yang menjadi salah satu kriteria penting dalam soal keselamatan bagi sektor tersebut.

?Kos menggunakan khidmat ERSC ini juga lebih murah dan praktikal kepada pemain industri O&G berbanding menubuhkan pasukan tindak balas dalaman.

?Perkhidmatan ERSC ini penting supaya pelanggan (syarikat O&G) boleh memberi tumpuan kepada perniagaan mereka iaitu mencari minyak. Mereka boleh melantik kami untuk menguruskan soal pengurusan dan sokongan kecemasan,? katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau berkata, menerusi ERSC, Wild Geese Group turut menawarkan perkhidmatan sokongan seperti 24 jam akses kepakaran anggota profesional dalam tindak balas kecemasan dan latihan simulasi berkala bagi memastikan pelanggan bersedia menghadapi sebarang situasi kecemasan.

?Selain itu, ERSC juga dilengkapi dengan peralatan komunikasi yang canggih antaranya meliputi perisian khas tindak balas kecemasan telefon pintar dan tablet serta menyediakan pengurusan dan sokongan media dalam situasi kecemasan.

?Perancangan dan sokongan kontigensi dalam pelbagai situasi seperti tumpahan minyak, kebakaran, ancaman bom dan sebagainya, baik ke atas pelantar minyak atau mana-mana aset milik pelanggan termasuklah kecemasan ketika di pejabat,? katanya.

Menurutnya, penubuhan ERSC di Malaysia adalah yang pertama di rantau Asia Tenggara dan kedua di dunia.

?Ia ditawarkan dalam tiga pakej iaitu Pakej Perak, Emas dan Platinum. Pakej Perak menyediakan khidmat rundingan mengenai soal keselamatan, termasuklah menulis prosedur operasi standard (SOP) kepada pelanggan, manakala Pakej Emas mengandungi khidmat rundingan penulisan SOP serta latihan amali diberikan.

?Untuk Pakej Platinum pula, khidmat rundingan penulisan SOP, latihan amali, sokongan 24 jam sepanjang tempoh kontrak untuk latihan simulasi keselamatan dan juga ketika situasi keselamatan yang sebenar berlaku. Pasukan petugas di ERSC akan dikerahkan hanya dalam tempoh 30 minit dari saat panggilan kecemasan diterima daripada pelanggan,? katanya.

Tim berkata, ketika ini, kebanyakan daripada 40 syarikat O&G yang menggunakan khidmat di ERSC melanggani Pakej Perak dan Emas.

?Hanya syarikat EnQuest dari United Kingdom dan mempunyai operasi di Malaysia yang melanggani Pakej Platinum. Kami menyasarkan tambahan tiga pelanggan untuk melanggan Pakej Platinum pada tahun ini," katanya.

ERSC bakal dilancarkan Jumaat ini oleh Ketua Eksekutif Kumpulan Opito International, David Doig yang merupakan badan berautoriti antarabangsa dalam bidang latihan keselamatan bagi industri O&G.

0 Response to "ERSC Urus Kecemasan Syarikat O&G"

Post a Comment