Hot !

Vietnam Hantar Helikopter Periksa ‘Objek Kuning’, Mungkin Rakit Keselamatan Pesawat

Vietnam menghantar sekumpulan helikopter penyelamat untuk memeriksa ‘objek kuning’ terapung di perairannya dan pasukan penyelamat mengesyaki ia mungkin rakit keselamatan daripada pesawat Malaysia yang hilang bersama 239 penumpang, kata seorang menteri seperti dilaporkan oleh Reuters.



Jet Vietnam terlebih dahulu mengesan objek berkenaan awal hari ini tetapi tidak boleh melihatnya pada jarak dekat untuk mengenal pasti apa sebenarnya objek itu, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Vietnam, Pham Quy Tieu yang juga timbalan ketua jawatankuasa penyelamat, kata Reuters.


Menurut Reuters, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Vietnam berkata di laman sesawanya, pencarian dilakukan kira-kira 140 kilometer ke barat daya pulau Tho Chu, yang terletak kira-kira 200 kilometer dari pinggir laut selatan Vietnam.

Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman menafikan bahawa beberapa bahagian pesawat dikesan oleh pihak berkuasa Vietnam.

Beliau berkata, pihak yang bertanggungjawab untuk mencari dan menyelamat sudah mengesahkan laporan “penemuan” dengan pihak berkuasa Vietnam yang menafikannya.


Dilaporkan ada laporan yang belum disahkan mengenai beberapa bahagian pesawat dikatakan dilihat, termasuk kemungkinan pintu dan tumpahan minyak di Laut China Selatan.


“Beberapa laporan dibuat mengenai bahagian yang dilihat oleh organisasi media tetapi tidak ada apa yang kukuh ditemui,” katanya dan menambah dakwaan pasukan pencari dan penyelamatan Vietnam menemui pintu pesawat belum lagi disahkan.


“Kita sudah menghubungi pihak berkuasa Vietnam dan mereka menafikan penemua itu oleh pasukan pencari dan penyelamat,” kata Azharuddin pada sidang media hari ini.


Beliau berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) juga menemui tumpahan minyak di Laut China Selatan dan mengambil sampel.


“Sampel itu sudah diambil untuk dihantar ke makmal dan harapnya, keputusan ujian akan keluar tidak lama lagi,” katanya.


Azharuddin berkata, pakar penerbangan dan pesawat dari seluruh negara memberi sumbangan dalam bentuk pendapat dan kepakaran.


“Bagaimanapun, tiada yang konkrit dapat disimpulkan hingga kita menemui lokasi MH370,” katanya.


Pesawat Boeing 777-200 berlepas dari KLIA ke Beijing pada 12.41 pagi pada Sabtu, tetapi terputus hubungan pada jam 1.20 pagi ketika ia terbang di ruang udara yang dikendalikan menara kawalan di Ho Chi Minh.


Pesawat itu membawa 239 penumpang, menurut senarai penumpang dengan kebanyakannya adalah penumpang dari China, dan 12 kru.

Related Posts :

0 Response to "Vietnam Hantar Helikopter Periksa ‘Objek Kuning’, Mungkin Rakit Keselamatan Pesawat"

Post a Comment