Hot !

Bapa Pembantu Juruterbang MH370 Rasa Anaknya Masih Hidup

Abdul Hamid Mohd Daud, bapa kepada pembantu juruterbang pesawat MH370, Fariq Abdul Hamid berkata, hati kecilnya merasakan anaknya itu masih hidup.

"Jauh di sudut hati kecil saya merasakan beliau (Fariq) masih ada," katanya kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakub yang mengunjungi rumahnya di Shah Alam, hari ini.


Ahmad dan isteri mengunjungi keluarga Fariq, pembantu juruterbang pesawat MAS MH370 yang masih belum ditemui.


Kunjungan ke kediaman mereka di Seksyen 7 Shah Alam turut disertai Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohamad Amar Nik Abdullah serta beberapa Adun Kelantan.



Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakub (kanan) bersama timbalannya, Datuk Mohamad Amar Nik Abdullah melawat bapa pembantu juruterbang MAS pesawat MH370, Abdul Hamid Mohd Daud di Shah Alam, hari ini.


Kunjungan mereka disambut bapa ibu bapa Fariq serta beberapa ahli keluarga yang lain.


Dalam pertemuan kira-kira setengah jam itu, menteri besar turut melahirkan rasa simpati kerajaan Kelantan kepada keluarga itu atas apa yang berlaku.


Beliau juga turut menyampaikan sedikit sumbangan kepada keluarga serta menasihatkan agar bersabar dengan ujian yang menimpa ini.

"Beliau adalah anak buah saya sebagai rakyat Kelantan. Kita datang untuk zahir rasa simpati dan mengajak masyarakat supaya mendoakan insiden ini berakhir dengan baik," katanya seperti dilaporkan oleh media rasmi PAS, Harakahdaily ketika ditemui selepas pertemuan itu.

Abdul Hamid berkata, beliau pasrah dengan apa juga ketentuan Allah namun berdoa semoga anaknya dan semua penumpang termasuk kru pesawat MH370 selamat.


"Kami sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan dengan beg pakaian dan pasport jika diminta untuk ke lokasi," katanya.


Beliau juga turut berharap agar pihak media khususnya, menghormati privasi keluarga yang sedang berdepan ujian sukar ini.


Fariq, 27, merupakan pembantu juruterbang pesawat MAS MH370 ke Beijing yang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang kira-kira jam 2.40 pagi, Sabtu lalu.


Sehingga kini, pesawat tersebut masih belum ditemui dan usaha mencari sedang giat dijalankan pihak berkuasa Malaysia dengan dibantu beberapa negara lain.


Penerbangan yang membawa 239 penumpang termasuk dua bayi dan 12 anak kapal itu dikendalikan oleh Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53.

Related Posts :

0 Response to "Bapa Pembantu Juruterbang MH370 Rasa Anaknya Masih Hidup"

Post a Comment