
Gara-gara satu status di Twitter berbentuk
pertanyaan mempersoalkan gaya nyanyian Fynn Jamal yang diluahkannya pada Isnin
lalu, pelakon dan pengacara, Karl Shafek, 35, memberitahu menerima banyak respon
daripada pengguna laman sosial tersebut.
Malah, apa yang lebih panas apabila dalam kalangan
pengikut Fynn turut memberi reaksi seakan kurang senang dengan pertanyaan
tersebut lantas melemparkan kritikan terhadap hos program Aroma Tradisi
itu.
Karl yang ditemui pada sidang media Teater
Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck berkata, dia dia tidak berniat mencari
publisiti mahupun memburuk-burukkan Fynn.
Meletakkan dirinya sebagai pendengar biasa, dia
terdetik mengajukan pertanyaan itu kerana persoalan tersebut tergiang-ngiang di
fikirannyaa sejurus selepas dia mendengar lagu penyanyi berkenaan yang
diputarkan di radio.
“Sejujurnya ia satu satu pertanyaan daripada saya
seorang pendengar biasa. Saya dengar lagu nyanyian Fynn di radio semalam
(Isnin), kemudian persoalan yang timbul tergiang-ngiang dalam kepala
saya.
“Ketika itu, apa yang saya mahu hanyalah jawapan
kepada persoalan saya.Jadi saya ‘tweet’ sekadar bertanya. Saya tak fikir pun
akan akibat pertanyaan saya itu.
“Mungkin juga kerana saya artis, maka ‘tweet’ saya
itu seperti diperbesarkan sedangkan jika bukan artis yang ‘tweet’, mungkin ia
tidak memberi apa-apa kesan,” katanya ketika ditemui di Istana Budaya,
semalam.
Jelasnya, selama ini dia tidak mengenali secara
peribadi penyanyi tersebut dan tidak menyangka bahawa Fynn sebenarnya mempunyai
ramai peminat.
Namun, sejurus dia menerima banyak respon berbaur
negatif itu, dia mula mencari lagu-lagu Fynn di YouTube dan mengakui mengagumi
bakat wanita itu.
Sekaligus Karl juga berharap Fynn tidak terasa hati
dan dapat menerima secara positif akan pertanyaannya itu.
“Saya tidak kenal Fynn secara peribadi. Malah, saya
baru tahu sebenarnya bukan saya seorang yang mempersoalkan gaya nyanyianya sebab
saya difahamkan sebelum ini ada juga pihak yang mengajukan persoalan sama
seperti saya.
“Jadi, dalam pada ramai yang kritik, ada ramai juga
yang menyokong saya.
“Semalam, saya ada tengok YouTube dan cari
lagu-lagunya. Dia berbakat serta lagu-lagunya mempunyai maksud yang cukup
mendalam dan sedap didengar.
“Saya harap dia tidak terasa hati dan menerima
pertanyaan itu secara positif. Pertanyaan itu bukan hendak menghentam atau
memburuk-burukkan dirinya,” katanya.
Sementara itu, berkongsi penglibatannya menerusi
Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Karl menyatakan dia terkejut dan dalam masa
sama teruja saat ditawarkan menggalas peranan sebagai Azis.
Watak tersebut menuntutnya mempotretkan seorang
lelaki dan suami yang bersifat mempunyai ego tinggi, pentingkan diri sendiri,
boros dan mahu mendapatkan apa saja yang diinginkan
Menyifatkan tawaran itu sebagai rezeki, Karl
berharap tanggapan sesetengah pihak yang mendakwa dia tidak layak menjadi
sebahagian daripada barisan pelakon naskah nukilan ulama terkenal Nusantara,
Allahyarham Prof Hamka ini berubah selepas mereka sendiri datang menontonnya di
Panggung Sari mulai 12 sehingga 18 Oktober ini.
“Saya terkejut saat ditawarkan tapi saya sahut
cabaran ini. Lagipun saya memang menyimpan impian mahu menjayakan naskah
ini.
“Kalau hendak tahu, saya sanggup terbang dari Kuala
Lumpur ke Bali, Indonesia semata-mata mahu menonton filem ini ketika ia
dilancarkan di sana dua tahun lalu.
“Mengenai watak Azis, saya sedar mungkin ada yang
membandingkan saya dengan lakonan Reza Rahadian (menerusi filem).
“Bagi saya, itu interpretasi Reza terhadap watak
Azis itu dan saya pula berbeza. Cuma, persamaan yang akan penonton nampak ialah
dari segi pemakaian kami.
“Saya terima tawaran ini dan anggap ini rezeki
serta tanggungjawab. Mungkin pemilihan saya kerana penerbit nampak bakat ataupun
pengalaman saya dalam teater,” katanya yang sebelum ini pernah menjayakan Teater
Projek Kahwin yang dipentaskan di Lambang Sari, Istana
Budaya.
0 Response to "FYNN JAMAL NI MENYANYI KE BERCAKAP? KE MERAUNG?"
Post a Comment