
Seremban – “Adik ada bagitahu, dia tidak berniat
bunuh abangnya. Dia menyesal dan banyak kali mohon maaf kepada kami sekeluarga,”
kata abang sulung kepada mangsa kejadian tikam di Kampung Chuah, Port Dickson
petang kelmarin.
Abang sulung yang enggan dikenali itu berkata, dia
dan ahli keluarga yang lain ada menghubungi adiknya untuk memintanya pulang ke
rumah.
“Saya hubungi dia dan tanya kenapa dia buat begitu.
Dia menangis dan minta maaf kepada kami kerana tidak sangka jadi
begitu.
“Dia sedia beri kerjasama dengan polis dan mahu
pulang ke rumah untuk memohon maaf kepada kami sekeluarga,” katanya ketika
ditemui pemberita di perkarangan bilik mayat Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di
sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang itu, mangsa
berusia 33 tahun meninggal dunia akibat terkena tikaman di dada ketika bergelut
dengan adik lelakinya.
Mangsa yang bekerja di bahagian khidmat pelanggan
di sebuah syarikat di Sepang, Selangor disahkan meninggal dunia ketika menerima
rawatan di Klinik Kesihatan Bukit Pelandok.
Kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa menegur
perbuatan adiknya yang berebut alat kawalan jauh televisyen dengan anaknya
berusia lima tahun.
Sementara itu, abang sulung berusia 40-an itu
berkata, adiknya itu bukan melarikan diri disebabkan tindakannya itu, malah
tidak tahu abangnya meninggal dunia.
“Pada awalnya, dia tidak tahu abangnya sudah
meninggal dunia, kami minta dia datang ke hospital untuk melawat
abang.
“Polis hubungi adik, dia masih boleh menjawab
panggilan dan sedia beri kerjasama dan akan pulang ke rumah,”
katanya.
Menurutnya, kali terakhir dia bertemu dengan arwah
ialah pagi Isnin lalu ketika mahu pulang semula ke Johor untuk urusan
kerja.
“Arwah ada tegur saya kenapa pulang awal kerana
biasanya saya pulang ke Johor pada waktu petang. Saya bagitahu dia terpaksa
pulang pagi kerana ada urusan kerja.
“Kami berbual sekejap dan bersalaman sebelum
pulang. Saya melihat arwah banyak diam dan tak sangka itu tanda dia mahu pergi,”
katanya.
Menurut abang sulung kepada enam adik-beradik itu,
Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan dua anak berusia lima dan 11
tahun.
Jenazah dikebumikan di Sepang selepas solat Zuhur,
semalam. – Sinar Harian Online
0 Response to ""ADIK TAK BERNIAT BUNUH ABANG""
Post a Comment