
NAMA
SAYA AINA, SAYA BUKAN BUDAK TAK PANDAI..SAYA CUMA ADA DYSLEXIA: 7 perkara
tentang dyslexia.
Nama
saya Aina, saya lapan tahun. Dulu saya minat sekolah, saya suka cikgu ajar melukis, buat
aktiviti di padang dan belajar mengira. Tapi saya tak pandai membaca. Semua
orang boleh baca dengan laju, tapi saya selalu susah nak baca. Kawan-kawan
selalu gelakkan saya. Cikgu selalu tegur sebab saya tulis terbalik. Saya rasa
saya tulis betul, tapi asyik dapat pangkah.
Saya tak boleh beri tumpuan
sebab banyak sangat yang cikgu tulis di papan hitam saya tak dapat ikut. Saya
tak sempat salin, jadi saya tak tahu apa kerja sekolah. Ada budak kata saya
bodoh, sebab tu saya duduk kelas belakang. Bila kena baca di depan kelas, saya
jadi takut. Saya rasa nak muntah, nak pitam atau mungkin rasa nak pengsan. Saya
tak tahu apa yang saya rasa.
Saya takut dan tak mahu pergi
sekolah. Saya menangis dalam bilik dan tutup pintu. Mula-mula mak pujuk, lepas
tu mak marah. Ayah pun paksa tapi saya tak mahu pergi sebab saya takut. Cikgu
datang sekolah pujuk, tapi saya takut dan saya malu. Kawan-kawan mesti kata saya
budak malas sekolah.
Sebulan lepas tu, mak bawa saya
jumpa doktor. Doktor buat ujian IQ, dia minta saya main puzzle, lukis-lukis,
tiru bentuk dan jawab soalan. Doktor beritahu mak IQ saya ‘normal’. Doktor suruh
saya tulis dan baca. Masa tu baru saya tahu, saya ada DYSLEXIA. Baru saya tahu,
saya bukan budak tak pandai....saya cuma ada DYSLEXIA
___________________________________________________
1. Dyslexia bukan bermakna anak
tersebut tidak pandai, malas, payah diajar atau lembab. Kanak-kanak dyslexia
mengalami masalah berkaitan keupayaan membaca, mengenal huruf, mengeja, menyebut
suku kata, mengingat semula perkataan yang rumit dan mengingati memahami susunan
ayat atau kata.
2.Ia disebabkan gangguan pada
saraf otak yang secara khusus berfungsi dalam penguasaan kemahiran tersebut.
Berbeza dengan kanak-kanak yang mengalami intellectual disability, kanak-kanak
dyslexia biasanya mempunyai IQ yang normal, bahkan mempunyai kecenderungan dan
bakat semulajadi yang istimewa dalam bidang lain seperti seni, kemahiran dan
sebagainya. 10% kanak-kanak sekolah mempunyai gejala dyslexia.
3. Bukan semua kanak-kanak
dyslexia mempunyai gejala yang sama. Antara gejala awal yang biasa dikesan
adalah menulis huruf terbalik, tertukar suku kata, tertinggal huruf, tertinggal
perkataan, tidak minat dalam tugasan memerlukan membaca dan menulis, sukar
mengenal waktu dan tertukar maksud perkataan.
4. Pengesanan awal penting bagi
membolehkan penilaian dibuat dan penyesuaian dibuat terhadap kaedah mengajar dan
belajar bagi kanak-kanak ini.
5. Bagi yang mengalami
kesukaran mengikuti pembelajaran arus perdana, mereka perlu dirujuk ke kelas
khas dysleksia yang termasuk dalam program pendidikan khas integrasi yang
disediakan kementerian.
6. Mengajar kanak-kanak
dyslexia memerlukan kreativiti. Mereka mudah hilang fokus. Maka pengajaran perlu
menggunakan pendekatan pelbagai pendekatan - seni, aktiviti, warna, bentuk,
games, puzzle dan sebagainya.
7. Dyslexia tidak sepatutnya
menghalang mereka berjaya seperti kanak-kanak lain. Dengan pengajaran yang
bersesuaian, apabila mereka dapat menguasai konsep asas membaca dan menulis,
mereka biasanya boleh mengikuti proses pembelajaran seperti kanak-kanak
lain.
0 Response to ""Saya Bukan Bodoh, Saya Ada Disleksia!" - Luahan Hati Aina Buat Ramai Menangis"
Post a Comment