Pelakon dan pengacara terkenal Rozita Che
Wan meluahkan rasa kesal masih ada pihak tidak bertanggungjawab menggunakan
namanya untuk melariskan jualan produk masing-masing. Rozita atau lebih mesra
dengan panggilan Che Ta berkata, lebih membuatkan dia
berasa bengang apabila gambarnya disunting memegang botol produk kecantikan
keluaran terbaharu seolah-olah dia mempromosikan produk berkenaan.
“Apa yang mereka (penulis blog) tulis adalah
fitnah! Saya anggap itu taktik kotor pengeluar produk mengeluarkan artikel dan
gambar saya seperti itu dengan tujuan untuk mempengaruhi orang ramai. Saya
masih lagi duta kepada produk Rysya dan makanan tambahan Longevite. Berani betul
blog itu membuat tanda pangkah pada gambar produk yang saya gunakan itu,”
katanya kepada mStar Online.
Artikel yang dikeluarkan di sebuah blog kononnya
Rozita kini menggunakan produk kecantikan baharu adalah laporan yang tidak
benar. Malah artikel itu juga membuat laporan palsu dengan mendakwa Rozita tidak
menggunakan produk keluaran syarikat yang melantiknya sebagai jurucakap.
Sebaliknya artikel itu ditulis kononnya Rozita
menggunakan produk baharu dan wajah dia bersama produk berkenaan turut
dipaparkan. Sementara itu, Che Ta berkata pengasas produk yang diwakilinya akan
mengambil tindakan terhadap pihak terbabit yang memutarbelitkan fakta bertujuan
mengelirukan orang ramai. Dalam pada itu Rozita turut berasa pelik dengan sikap
peniaga online yang suka menggunakan namanya bagi mempromosikan produk
yang dijual.
“Ini bukan kali pertama. Dah banyak kali saya
berdepan dengan situasi seperti ini. Saya pelik apabila nama saya selalu
digunakan untuk melariskan produk. Sepatutnya mereka perlu yakin dan percaya
dengan produk yang dikeluarkan sekiranya ia produk yang bagus. Tak perlu guna
nama siapa-siapa pun. Bagaimanapun saya harap perkara ini tidak akan terjadi
lagi pada masa akan datang,” tegasnya.
0 Response to "ROZITA CHE WAN BENGANG GAMBAR DISUNTING PROMOSI PRODUK KECANTIKKAN ?"
Post a Comment