Ketika pemimpin Umno terus menegaskan dana AS$700 juta yang didermakan kepada Datuk Seri Najib Razak bukan luar biasa, penceramah antarabangsa pada persidangan anti rasuah global berkata, segala urusan itu mencurigakan dan perlu diambil tindakan.
Mereka memberitahu The Malaysian Insider, ia menarik minat pelbagai pihak untuk perdana menteri mendedahkan bagaimana beliau menerima wang berkenaan dan dari mana ia disalurkan.
Mereka berpendapat, jika kes yang sama berlaku di beberapa negara lain, apabila ia diketahui, ahli politik itu akan didakwa atau disingkirkan.
Ahli Parlimen dari Eropah, Ana Maria Gomes berkata mana-mana ahli politik lain akan meletak jawatan jika mereka berada di tempat Najib.
"Beliau perlu menjelaskan segala-galanya. Pada pendapat saya, sesiapa yang berada atas dakwaan yang begitu serius, perkara pertama (yang akan mereka lakukan) di Eropah adalah meletak jawatan dan kemudian membicarakan kes mereka.
"Buktikan anda tidak bersalah dan berdepan dengan akibatnya," kata Gomes ketika ditemui di luar dewan persidangan selepas berucap pada Persidangan Antarabangsa Pencegahan Rasuah (IACC) ke-16 di Putrajaya semalam.
Beliau berkata di negaranya, Portugal seorang menteri didakwa atas tuduhan serius beberapa tahun lalu dan beliau segera meletak jawatan.
Siasatan kemudiannya mendedahkan yang dakwaan itu adalah tidak benar, katanya.
"Itu adalah patriotik dan satu perkara yang baik untuk dilakukan. Di Malaysia, memandangkan dakwaan dilemparkan terhadapnya, beliau sudah tidak mempunyai kredibiliti untuk menjadi perdana menteri."
Beliau menambah, tindakan diambil terhadap individu menyiasat dana yang diperoleh menimbulkan keraguan dan ini tidak sepatutnya berlaku.
"Ia dilihat tidak elok sama sekali, cara perdana menteri seolah-olah mahu menutup dakwaan serius terhadap beliau dan langkah terbaik adalah dengan meminta beliau untuk meletak jawatan."
Pengarah Greenpeace International Kumi Naidoo berkata, derma sebanyak AS$700 juta adalah "sangat mencurigakan dan sangat luar biasa", dan beliau berpendapat pihak berkuasa sudah mengambil tindakan jika ia melibatkan rakyat biasa.
Penjelasan Najib yang duit itu sebagai "derma politik" tidak mencukupi, kerana jumlahnya terlalu banyak, katanya.
"Ada sesetengah negara kepulauan kecil di dunia yang menggunakan jumlah tersebut untuk bajet tahunan mereka. Ini adalah satu jumlah wang yang besar dan ia tidak boleh dibiarkan begitu sahaja tanpa penjelasan," katanya ketika ditemui di luar dewan selepas beliau berucap di persidangan itu semalam.
"Adakah ia diberikan kepada kerajaan atau perdana menteri untuk melakukan sesuatu bagi penderma, mungkin termasuk polisi atau kontrak tertentu? Ia bukan hadiah peribadi yang normal, mahupun bagi standard orang kaya."
Naidoo menasihatkan Najib supaya tampil ke hadapan dan menerangkan dengan jelas dari mana menerima dana itu, apa yang beliau gunakan daripada wang itu dan hubungan dengan penderma.
"Saya rasa kegagalan untuk berbuat demikian akan menjadikan beliau sebagai yang sangat dikompromi dan hanya menyebabkan demokrasi Malaysia dipersoalkan."
Naidoo yang juga seorang aktivis hak asasi manusia dari Afrika Selatan, mengesahkan kes sebegini adalah serupa berlaku di beberapa negara lain, tetapi apabila ia diketahui ahli politik itu boleh didakwa atau dipecat.
"Dalam beberapa kes ada yang mempertahankan kuasa mereka, tetapi pemimpin sebegini bukan dari negara yang mengamalkan demokrasi atau demokrasi sebenar.
"Dan saya percaya Malaysia adalah sebuah negara demokrasi yang sebenar," katanya.
Beliau menambah sudah melihat perhimpunan Bersih 4 di Kuala Lumpur pada hujung minggu dan kagum dengan peserta yang berhimpun secara aman.
"Saya menggesa peserta perhimpunan supaya terus mengekalkan cara mereka berhimpun secara aman. Mereka mempunyai hak untuk bersuara walaupun ia menyebabkan ketidakselesaan kepada mereka yang berkuasa."
Lise Stensrud, pengarah dasar anti-rasuah Agensi Pembangunan bersama rakyat Norway (Norad), menggesa orang ramai untuk terus memberi tekanan kepada kerajaan berhubung dana itu.
"Ini adalah sesuatu perkara yang perlu dilakukan rakyat, dan mereka harus cuba untuk menuntut keadilan. Sejumlah besar wang berada pada satu tempat yang tidak sepatutnya.
"Kerajaan sedang berkhidmat kepada rakyat dan bukan sebaliknya," katanya ketika ditemui di luar dewan persidangan semalam.
Kuala Lumpur menjadi tuan rumah kepada persidangan IACC kali ini dan Najib sepatunya menyampaikan ucaptama semalam.
Namun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low berkata, beliau menasihatkan Najib untuk menarik diri dari merasmikan IACC di Putrajaya semalam kerana kemungkinan beliau terpaksa berdepan dengan persekitaran yang "ganas".
Persidangan selama 3 hari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya itu akan berakhir esok.
Dianggap sebagai perkumpulan pihak berkepentingan dalam gerakan anti rasuah, IACC setiap dua tahun dan tahun ini berjaya mengumpulkan 1,000 delegasi dari 130 negara.
- sumber : http://ift.tt/1ECyfFm
0 Response to "Malu Weh!!.. Baca Apa Perwakilan Persidangan Antarabangsa Pencegahan Rasuah Kata Mengenai 'Derma RM2.6 Billion' Tu..."
Post a Comment