Wartawan: Nani
Jika kebelakangan ini anda sering disajikan dengan kisah bercorak seram, aksi serta cinta, apa kata kali ini anda cuba pula bertukar angin dengan menonton filem cereka bergenrekan fiksyen, ‘Kapsul’. Bagi pandangan peribadi penulis, filem ‘Kapsul’ merupakan filem wajib ditonton oleh semua lapisan masyarakat.
Walaupun peka dengan sambutan dingin penonton terhadap pasaran filem berbentuk sejarah serta rekod kutipan jualan tiket yang kurang memberangsangkan untuk filem sebegini, namun pihak produksi tetap berani mempertaruhkan ‘Kapsul’ dengan mengambil pendekatan menampilkan kelainan dalam persembahannya. Dengan kepakaran yang menjadi ‘makanan’ syarikat Two Tones Sdn Bhd, penggunaan teknologi imej janaan komputer (CGI) digunakan untuk memberi suntikan elemen moden kepada naskhah yang menelan kos RM2.3 juta ini.
Biarpun hasil CGI yang dipaparkan kurang memuaskan tetapi idea serta jalan cerita yang dipersembahkan sudah cukup untuk menutup kekurangan tersebut. ‘Kapsul’ merupakan idea hasil intepretasi penulis serta pengarah, Allahyarham Martias Mohd. Ali tentang bentuk fizikal kapsul dan isi kandungan yang tercatat dalam kapsul masa Wawasan 2020 yang ditanam oleh Perdana Menteri ke-4, Tun Dr. Mahathir Mohamed.
[caption id="attachment_186810" align="aligncenter" width="650"]
Penyampaian plot cerita yang jarang dilihat dalam penerbitan filem mahupun drama di negara ini memberi keunikan dan kekuatan yang tersendiri untuk filem ini. ‘Kapsul’ juga dipersembahkan mengikut trend terkini bagi menarik lebih ramai generasi muda menghayati sejarah perjuangan bangsa. Elemen komedi yang diselitkan memberi cukup rencah bagi filem ini sekaligus menjadikan ‘Kapsul’ sebuah naskhah yang cukup hebat.
Selain itu, penampilan khas Tun sebagai pelakon dalam ‘Kapsul’ merupakan antara keistimewaan serta tarikan besar bagi filem ini. Biarpun muncul sekitar dua minit sahaja di penghujung filem, namun lakonan Tun sudah cukup membuat penonton meremang bulu roma. Malah, ada juga yang menitiskan air mata dengan kata-kata yang dilontarkan Tun dalam filem ini. Tidak mahu bercerita lebih, penulis sarankan anda pergi ke pawagam dan menonton sendiri filem lakonan Faizal Hussein serta dibantu oleh lebih 30 pelakon terkenal tanah air ini.
Berlatarbelakangkan lima era yang berbeza, ‘Kapsul’ mengisahkan tentang pemuda bernama Zohri Ibrahim (Faizal Hussien) yang diberi peluang merasai pengalaman hebat menggembara ke zaman silam untuk menyelami sendiri keperitan bangsa Melayu dan pemimpin terdahulu membangunkan negara.
Penggembaraan Zohri berusia 30-an yang juga pakar keselamatan tercanggih bermula apabila dia bertindak mencuri kapsul yang ditanam mantan Perdana Menteri ke-4 di Putrajaya sebagai simbolik impian negara mencapai Wawasan 2020. Di sebalik kewujudan kapsul itu yang memberi lambang kepada usaha kerajaan mencapai status negara maju, ia juga menimbulkan tanda tanya kepada masyarakat apakah yang sebenarnya yang tertulis di dalam kapsul itu yang sepatutnya dibuka pada 1 Januari 2020.
Nyata, tindakannya itu mengubah masa depan Zohri apabila ketika dia membuka kapsul itu, dia menggembara ke masa lampau. Menariknya, Zohri bukan saja tersedar menjadi askar Melayu yang menentang tentera Jepun tetapi terus dibawa menggembara ke dalam kehidupan seorang pemandu kereta peribadi kepada Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman.
Ketika Zohri cuba memahami perjuangan bangsa Melayu yang menentang komunis, dia sekali lagi dijelmakan semula sebagai seorang peneroka tanah rancangan. Dalam kekeliruan dan berkongsi pengalaman menakjubkan itu, Zohri berkesempatan menyaksikan kesungguhan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak yang memasuki tanah rancangan untuk bertemu rakyat. Menerusi penggembaran masa yang dilalui Zohri, dia berpeluang melihat zaman Tun Dr. Mahathir yang ketika itu mengambil keputusan meletakkan jawatan sebagai pemimpin negara.
Kisah hebat kehidupan Zohri yang melalui pelbagai zaman menimbulkan kesedaran kepada dirinya betapa perjuangan bangsa dan masyarakat negara ini dalam mencapai kemerdekaan dan kemajuan negara merupakan suatu yang memberi makna besar buat dirinya. ‘Kapsul’ sudah mula ditayangkan sejak 17 September di 62 buah pawagam di seluruh negara.
0 Response to "Lakonan Tun Dr. Mahathir Buat Penonton Meremang"
Post a Comment