SAYA sering membaca kisah-kisah yang dipaparkan dalam ruangan ini yang banyak mengisahkan kecurangan suami sahaja. Biasanya kaum wanitalah yang sering mengadu tentang keburukan kelakuan, tabiat dan perbuatan sumbang suami masing-masing.
“Namun
saya tak salahkan mereka kerana mereka yang merasakan penderitaannya tentulah
sakit hati dan ingin meluahkan perasaan masing-masing. Mereka tahu cerita mereka
menjadi rahsia, dan apa yang tersemat di hati mereka cuma penulis sahaja yang
tahu.
“Tetapi
kali ini saya ingin mencurahkan perasaan saya. Kalau selalunya wanita berasa
tertipu dengan suami masing-masing, perasaan saya lebih sakit lagi apabila
dikhianati isteri sendiri.” Demikian cerita Zain ketika penulis menghubungi
beliau setelah membalas e-melnya kerana ingin bertanya lebih lanjut
lagi.
Memang
terkejut tetapi bukan mustahil boleh berlaku kerana dunia ini pentas dan kita
semua adalah pelakonnya.
“Apa
perasaan puan bila baca cerita saya, terkejut tak? Tentu terkejut kan! Saya rasa
bukan saya seorang sahaja suami yang berperasaan demikian. Ada lagi mungkin
tidak ramai kaum lelaki yang mempunyai pengalaman pahit seperti yang saya lalui,
tetapi mereka suka mendiamkan diri. Dulu saya pun menyimpan perasaan yang sama,
tetapi semakin lama kita simpan semakin perit, pedih dan menjadi racun
berbisa.
“Jadi
hari ini saya luahkan kepada puan, pertimbangkanlah. Memang benar zaman ini
macam-macam perkara yang kita tak sangka boleh berlaku. Demikian pengalaman
pahit yang saya lalui.
“Saya
bekerja tetap tahun 70-an, oleh kerana saya daripada keluarga susah, ramai
adik-beradik, maka saya amat sayangkan kerja. Saya bekerja tak tentu masa kerana
terlalu gembira dengan tugas, sesuatu yang saya idam-idamkan selama
ini.
“Walaupun
saya mendapat tawaran ke U tetapi saya tolak, sebab keluarga miskin, jadi saya
berkorban supaya saya boleh bekerja dapat duit, bantu ayah sekolahkan adik-adik.
Saya bersyukur semua adik-beradik saya berjaya dalam pelajaran, lulusan U dan
semuanya memegang jawatan yang baik juga.
“Biarpun
saya tidak lulus U tetapi kerana dedikasi dan ketekunan bekerja, saya naik
pangkat dan menjawat jawatan yang baik. Ini balasan Allah daripada pengorbanan
besar yang saya lakukan demi pelajaran adik-adik saya.
“Kerana
terlalu sayangkan kerja, saya terlupa usia semakin meningkat dan tak kahwin.
Hidup saya cuma rumah dan tempat kerja saja. Sebelum pukul 8 saya dah mula
bekerja dan balik pukul 6 petang ada kalanya lewat malam. Dan bila kerja banyak
ada kalanya sampai pagi. Hari Ahad dan Sabtu sama saja. Ada satu ketika rutin
ini berterusan hingga 114 hari, termasuk hujung minggu dan cuti umum, hingga
risau ibu di kampung.
“Saya
hanya lulus MCE, tetapi nasib menyebelahi saya. Jawatan kerajaan yang dipegang
adalah idaman ramai. Pendapatannya lumayan bagi seorang bujang umur 20-an, dapat
kereta baru, dan dihormati ramai, tentu glamor juga di mata
gadis-gadis.
“Tetapi
kerana taksub dengan kerja, saya lupa dunia, hiburan dan hidup berkeluarga.
Akhirnya ketua jabatan, se-
orang
pengarah merancang konspirasi menjodohkan saya kerana tidak mahu melihat hidup
saya habis di pejabat.
“Awal
tahun 70-an usia dah dekat 30 tahun masih bujang. Di pejabat, saya digelar the
most eligible bachelor. Konspirasi mereka menjadi, mereka memaksa saya berkahwin
dengan seorang gadis yang boleh dikatakan cantik juga.
“Anak
ulama daripada keluarga agak tersohor dan dikenali secara peribadi oleh ketua
jabatan saya. Hampir setahun berkenalan, akhirnya saya mendirikan rumah tangga
dengan Hamizan.
“Belum
dua tahun berkahwin, Hamizan melahirkan anak, disusuli seorang lagi tiga tahun
kemudian dan ketiga, lima tahun kemudian. Dalam pada itu saya dinaikkan pangkat,
melayakkan saya menduduki banglo kuarters kerajaan di KL. Saya juga
dianugerahkan bintang kebesaran Persekutuan, semua dalam tempoh kurang 13 tahun
saya bertugas.
“Hamizan
bekerja di sebuah badan berkanun. Dia gemar bersukan apa jenis pun dan aktif
berpersatuan. Rajin menyertai kegiatan kesenian dan kebudayaan, seperti menari
dan berdrama. Kebolehannya ini membawanya ke seluruh negara dan ASEAN dalam misi
mengeratkan silaturahim antara badan-badan yang sama antara negara
tersebut.
“Kerana
aktif berpersatuan, dia sering pulang lewat selepas pukul 8 malam dan kadangkala
sehingga pukul 10 malam. Saya tidak merasa syak-wasangka kerana kami diketahui
ramai sebagai pasangan ideal. Tetap bergurau senda, berpegang tangan semasa
berjalan dan tidak kurang menunjukkan affection pada bila-bila masa. Kami saling
sayang-menyayangi.
“Suatu
hari lebih kurang sedekad lalu, seorang hamba Allah menelefon saya dan bertanya
mengapa saya biarkan isteri diusung orang merata tempat. Saya jadi bingung
kerana selama ini Hamizan tidak menunjukkan sebarang tanda dia curang selain
pulang lewat. Sungguhpun saya sangsi cerita pemanggil itu, namun hati saya mula
curiga. Saya bawa bertenang, dan tidak terburu-buru menyergah Hamizan. Saya cuba
siasat sendiri.
“Suatu
hari saya pulang pukul 3 pagi, dengan kehendak Allah jua saya ternampak bukti
pertama sebuah diari di sebelah Hamizan, ketika itu dia tertidur. Hampir pitam
saya bila membelek diari itu. Rupa-rupanya dia keluar masuk hotel dengan
teman-teman lelakinya, termasuk orang berpangkat tertinggi di jabatannya, juga
berpangkat rendah.
“Bila
diajukan dengan bukti Hamizan tidak dapat mengelak daripada mengakuinya. Dia
menceritakan segala-galanya, termasuk kecurangannya. Mahu saya cekik dia ketika
itu. Tapi ingatkan anak-anak dan maruah keluarga, saya mengucap berkali-kali.
Ketika itu anak-anak sedang membesar dan pencapaian pelajaran mereka amat
menggalakkan. Mengenangkan masa depan mereka, saya tidak bertindak. Kalau dulu
saya berkorban untuk adik-beradik, kali ini saya berkorban untuk anak-anak,
maruah mereka dan keluarga saya.
“Walaupun
marah, namun saya beri amaran keras bahawa sekiranya perbuatan ini berulang lagi
padahnya amat berat.
Dia menangis meminta ampun.
“Malangnya
pisang berbuah banyak kali. Hamizan mengulangi kegiatannya meskipun tidak lagi
pulang lewat. Kali ini saya menemui bukti setelah menerobos masuk ke e-melnya.
Kali ini temannya seorang jurutera sebuah syarikat telekomunikasi dan seorang
jeneral yang pernah dikenali semasa remaja. Saya tak mahu marah lagi, kerana
inilah sifat buruknya yang sebenar. Mulai hari itu antara kami sudah tidak ada
apa-apa.
“Namun
untuk meyakinkannya saya hubungi teman-temannya itu, dan berjaya mendapatkan
pengakuan bertulis mereka, ada juga secara lisan. Saya beritahu
mereka perbuatan mereka akan ada balasannya, tiada statute of limitation,
bermakna balasannya mungkin serta-merta, lepas lima tahun atau 20 tahun,
bila-bila saja. Allah maha besar.
“Apa
yang menghairankan saya, Hamizan bukan anak orang sembarangan, dia anak ulama,
pandai mengaji al-Quran kalau berlagu ala qari terkenal Ismail Hashim, baca
Yasin setiap malam Jumaat dari dulu sampai sekarang, sembahyang, puasa, termasuk
yang sunat, tak pernah tinggal, bertudung, pakaian sopan. Malah kalau berzanji
merdu suaranya. Setelah difikirkan baru saya sedar, apa yang dilakukan adalah
untuk mengaburi mata saya daripada melihat maksiat dan kecurangan yang dilakukan
di luar.
“Walaupun
saya begitu marah tetapi memukul tidak sekali-kali. Saya bawa bertenang kerana
memikirkan anak-anak
kami ketika itu sedang membesar. Tetapi sedihnya peristiwa pahit dalam kehidupan
saya, belum berakhir. Satu hari anak kedua saya Nuraine yang melanjutkan
pelajaran dalam bidang kejuruteraan di IPTA pulang bercuti. Sampai di rumah dia
terus memeluk saya dengan tangisan. Katanya, dia bukan anak saya. Darah kami
berlainan.
“Saya
terkejut besar. Bila saya tanya mana dia tahu, katanya ketika menderma darah dia
dapati jenis darahnya tidak ada persamaan dengan darah saya. Saya langsung tidak
terfikir kecurangan Hamizan sampai ke tahap ini.
“Hamizan
ketika ditanya menafikan, namun ujian darah membuktikan bahawa Nuraine
adik-beradik dengan anak-anak
saya yang lain, satu emak tetapi lain ayah. Hamizan tetap berdegil tidak
mengakui kesahihan ujian tersebut, meskipun saya dapat agak siapa sebenarnya
ayah Nuraine.
“Malah
pernah rakan-rakan sepejabat Hamizan ada mengatakan wajah Nuraine sama seperti
salah seorang pegawai tinggi di pejabatnya. Tetapi Hamizan menafikan. Bukan
sekali dua wajah Nuraine menjadi pertanyaan ramai, banyak kali.
“Hamizan
kini masih sebumbung dengan saya, tetapi saya tidak pernah menyentuhnya sejak
hampir 10 tahun lalu. Anak-anak tidak menghormatinya lagi. Mereka enggan
bertegur sapa, tidak bercakap sopan, kalau bercakap pun dengan kasar, membuatkan
Hamizan menangis.
“Anak-anak
tahu perbuatan keji emak mereka dan tahu pengorbanan saya demi menjaga hati,
maruah dan pembelajaran mereka. Anak sulung saya kini star-performer di
jabatannya. Nuraine mewakili syarikatnya bertugas di Eropah sementara anak
ketiga akan tamat pengajian tidak lama lagi. Inilah pengorbanan saya. Biar hati
lebur asal anak-anak bahagia.
“Yang
penting saya tidak mahu korbankan
masa depan mereka dengan sikap saya yang tidak sabar dan mengikutkan rasa
saya.
“Nuraine
hampir setiap hari menelefon saya bertanya khabar. Anak-anak lebih sayangkan
saya dan lebih suka berbincang dan berbual dengan saya daripada emak mereka.
Inilah sebabnya saya masih tidak menceraikan Hamizan.
“Saya
tetap tidak mengampunkan Hamizan. Biar dia nazak dan meminta maaf atau saya
sedang nazak dan dia sujud menangis meminta ampun, saya tetap tidak akan
memaafkannya. Saya tahu Allah Maha Pengampun, Nabi Muhammad juga mengampunkan
umatnya. Namun, saya bukan Allah dan saya juga bukan Nabi Muhammad. Saya seorang
biasa dan tidak akan melakukan sesuatu untuk menyamai Allah atau
Nabi.
“Ada
saya terbaca bahawa ibadah seseorang isteri tidak diterima Allah sekiranya dia
melakukan dosa besar terhadap suaminya dan tidak mendapat pengampunan
daripadanya. Jika benar, saya tidak akan mengampunkan apa juga dosa Hamizan.
Sungguh saya tidak menyangka kebahagiaan, kesenangan, kesetiaan dan kepercayaan
yang saya curahkan kepada dia disia-siakan.
“Kalaulah
membunuh bukan satu kesalahan dan tidak membawa aib kepada keluarga, sudah lama
saya cincang-cincang Hamizan untuk menjadi jamuan anjing-anjing liar di tepi
jalan dengan daging busuknya,” demikian cerita Zain.
Nampaknya
Zain telah melakukan pengorbanan besar bukan sahaja untuk adik-beradiknya,
anak-anaknya malah menjaga nama baik dan maruah mentuanya. Namun saya
tertanya-tanya apakah Zain sudah bertanya kehendak Hamizan untuk masa depannya?
Mungkin dia ingin menjadi burung yang terbang bebas? Kepada pembaca, dapatkah
anda pertimbangkan jika mempunyai isteri yang curang seperti
ini?
0 Response to ""Saya Tak Akan Ampunkan Dosa Isteri Saya" Luahan Suami Tak Sangka Beristerikan Pelacur Kelas Atasan"
Post a Comment