
Saya pernah berzina satu
masa dahulu kini telah bertaubat dan akan berkahwin perlukah saya beritahu saya
telah berzina satu masa dahulu kepada suami saya? Sekiranya dia bertanya
wajibkah saya beritahu perkara tersebut? Adakah dosa-dosa saya terhapus yang
membuat amalan fardu sahaja atau saya perlu menunaikan ibadat haji?
Berikut petikan jawapan
daripada Ustaz Ahmad Jailani :
Suatu ketika seorang
isteri memberitahu kepada saya bahawa beliau telah berzina. Sekarang telah pun
bertaubat di atas dosa yang telah beliau lakukan itu. Malangnya timbul pula
masalah lain. Beliau berhasrat untuk berterus terang dengan suaminya tentang
dosanya itu.
Dilemanya ialah beliau
bimbang jika suaminya mengetahui berkenaan maksiat lampaunya itu, kelak suaminya
akan menceraikannya. Sedangkan rumahtangga mereka aman damai, tiada perbalahan.
Ada anak yang comel. Beliau juga tidak sanggup diceraikan.
Namun, hati kecilnya
sering rasa bersalah bila memandang wajah suaminya. Soalan yang beliau utarakan
kepada saya ialah adakah wajar beliau menyembunyikan dosanya itu atau lebih baik
beliau berlaku jujur dengan suaminya dengan memberitahu apa yang telah berlaku
dan seterusnya memohon maaf daripada suaminya.
Sebenarnya amat sukar
untuk saya memberikan jawapan walaupun saya sudah ada jawapan yang telah
tersedia dan telah pun diberikan kepada orang lain sama ada yang menemui saya
secara bersemuka, melalui telefon atau saya menyampaikannya melalui kuliah atau
ceramah. Ini kerana saya bimbang ia boleh disalah-ertikan.
Jawapan saya kepada beliau
ialah JANGAN MENGAKU BERZINA! Kenapa? Pertamanya; Untuk menutup dosa dan aib
kita. Kedua; Untuk menggalakkan kita supaya sentiasa mencari Allah SWT dan
bertaubat kepadanya dan ketiga; untuk mengelak berlakunya kemudaratan kepada
orang yang bertaubat atau ingin bertaubat iaitu kehancuran
rumahtangga.

Apabila Ma’iz Al-Aslami
(sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam sahihnya) berjumpa dengan Nabi
SAW dan membuat pengakuan zina dengan berkata ” Ya Rasulullah, Inni zanaitu”
(sesungguhnya aku telah berzina), baginda berpaling daripada Ma’iz, walaupun
Ma’iz mengaku berkali-kali. Sehingga sebahagian fuqaha menjadikan hadith ini
sebagai dalil bahawa tidak digalakkan mengaku berzina!
Sheikh Dr. Ali Jum’ah
(Mufti Mesir) apabila ditanya fatwa beliau tentang hukum memperbaiki hymen
(selaput dara) atau struktur yang berkaitan dengannya bagi gadis-gadis yang
pernah terlibat dengan dosa dan noda pada suatu ketika tetapi kemudiannya telah
meninggalkan kefasiqan tersebut dan bertaubat, maka beliau menjawab agar ditutup
keaiban itu (boleh memperbaiki ‘dara’) kerana menutup keburukan orang mukmin
adalah suatu perkara yang terpuji dalam agama. Bukankah terdapat dalil syarak
yang menunjukkan bahawa sesiapa yang menutup aib saudaranya di dunia, maka Allah
SWT akan menutup aibnya di akhirat kelak! Ini terpakai kepada gadis tersebut
sama ada kejadian hitam itu dengan kerelaannya atau paksa.
Imam Nawawi, ulama’
terkenal dalam mazhab Imam Shafie, telah menulis dalam kitab “Raudhah”, dengan
katanya, “Sesiapa yang telah terlibat dengan perkara buruk dan dosa, maka
disunatkan kepadanya untuk menutup kesalahannya itu.
Berbeza dengan amalan dan
sikap masyarakat kita hari ini yang secara tidak langsung (mungkin tak sengaja)
berbangga-bangga dengan menceritakan “maksiat” lampaunya. Contohnya, terdapat
kenalan saya, yang pernah bercerita bahawa beliau masa muda-muda dulu pernah
beberapa kali ke Hatyai, Thailand kerana mencari pelacur! Astaghfirullah, Ya
Akhi, bertaubatlah.
Agama kita yang murni ini
sebenarnya banyak mengajar kita supaya sentiasa bertaubat dan memperbaharui
taubat kepada Allah SWT. Antaranya Firman Allah dalam Surah Al-Tahrim, ayat
8:-
Yang Bermaksud : “Wahai
orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan “Taubat Nasuha”,
mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan
memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada
hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama
dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka
dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika
orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): “Wahai Tuhan kami!
Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami;
sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”
Dengan menutup aib
tersebut, harapannya ialah akan menggalakkan manusia bertaubat kepada Allah. Ia
juga untuk mengelak daripada berlaku mudarat kepada orang yang bertaubat.
Sebagaimana riwayat Imam Malik dalam Al-Muwatta’nya – La darara wa la dirar –
Tiada mudarat dan tidak memudaratkan.
Mungkin ada di kalangan
kita yang akan berkata, bukankah ini akan menganiaya lelaki yang menjadi suami
atau bakal suami kepada gadis atau isteri tersebut. Jawapan saya ialah
masyarakat kita hari ini hanya sibuk dengan kesucian gadis atau isteri sehingga
pernah berlaku dalam masyarakat kita suatu adat atau amalan meletakkan kain
cadar putih untuk memastikan pengantin perempuan masih dara! Anehnya, masyarakat
kita tak pernah sibuk tentang “teruna”nya pihak lelaki.
Mereka sibuk tentang tak
relanya kelapa ditebuk tupai tetapi mereka tak pernah sibuk tentang tupai yang
sering menebuk kelapa! Alangkah tidak adilnya masyarakat hari ini. Malah ada
yang sanggup berkata, bila diajukan tentang lelaki yang sudah tiada “teruna”,
mereka jawab, “Alaa.. budak lelaki biasalaa.. yang perempuan tu gatal menggoda
dia tu, siapa suruh”. Malah pernah berlaku dalam kes rogol, si bapa kepada
remaja lelaki tersebut, bukannya menyalahkan anaknya yang merogol tetapi
menyalahkan si mangsa (gadis) kerana gatal dan miang.
Ya Allah, berilah
petunjukMU kepada umat ini. -sensasi.org-
0 Response to "Perlukah Kita Menceritakan Kisah Silam Kita Kepada Pasangan?"
Post a Comment