Shah Alam : Mahkamah Tinggi di
sini hari ini memerintahkan juruhebah Suria FM, Linda Onn dan stesen radio itu
membayar ganti rugi RM50,000 kepada pemilik majalah humor, 'Ujang' berhubung
kenyataan fitnah dalam satu segmen radio pada Januari tahun
lepas.
Hakim See Mee Chun turut
memerintahkan defendan, Linda Onn atau nama sebenarnya Rozlinda Onn dan Rimakmur
Sdn Bhd yang memiliki stesen radio Suria FM, supaya membayar kos RM20,000 kepada
Datuk Othman Yusof dan MOY Publications Sdn Bhd.
See membuat keputusan itu di dalam
kamarnya dengan dihadiri peguam C Vignesh Kumar yang mewakili plaintif dan
peguam Bhag Singh yang mewakili defendan.
Vignesh Kumar memberitahu
pemberita bahawa mahkamah turut memerintahkan kedua-dua defendan membayar faedah
lima peratus kepada plaintif bermula dari tarikh kenyataan fitnah itu
dikeluarkan sehingga penyelesaian kes hari ini.
Selain itu, katanya, mahkamah juga
mengeluarkan perintah bagi menghalang defendan dengan sendirinya atau melalui
ejen atau pengkhidmatnya atau dengan cara lain daripada terus menerbitkan
sebarang penerbitan lisan atau secara bertulis yang memfitnah
plaintif.
Pada Jun tahun lepas, plaintif
memfailkan saman dengan mendakwa Linda Onn ketika mengendalikan segmen 'Carta 30
Lagu Top Mingguan' kira-kira 1.30 tengah hari, 25 Januari tahun lepas, telah
menjawab soalan seorang pendengar Suria FM mengenai apakah yang telah berlaku
kepada Majalah Ujang yang dimiliki plaintif.
Plaintif mendakwa segmen itu telah
diulang siar pada 26 Januari tahun lepas, kira-kira pukul 6.30 petang di stesen
radio sama. Plaintif mendakwa ketika menjawab soalan pendengar yang merujuk
kepada plaintif, juruhebah itu telah mengutarakan kenyataan yang tidak berasas,
tidak benar dan memfitnah plaintif.
Plaintif mendakwa
perkataan-perkataan tersebut telah mengakibatkan kerosakan atau keburukan yang
teruk kepada reputasi, imej dan nama baik plaintif serta merendahkan martabat
plaintif di mata masyarakat umum.
Seterusnya plaintif mendakwa
perkataan yang dikatakan memfitnah mereka telah disebut hanya sebelum lagu juara
dalam carta itu disiarkan di mana kebanyakan pendengar akan mengikuti program
sehingga lagu juara dimainkan dan dalam pada itu program itu juga dikendalikan
oleh juruhebah terkemuka, Halim Othman serta Linda Onn yang mempunyai peminat
tersendiri.
Plaintif turut mendakwa sebelum
menjawab soalan pendengar dan membuat hebahan di dalam siaran radio nasional,
defendan tidak membuat sebarang verifikasi dengan plaintif mengenai ketepatan
maklumat yang diperoleh defendan dan setelah mengetahui bahawa maklumat yang
diberikan kepada pendengar bersifat fitnah, defendan tidak membuat sebarang
langkah untuk memperbetulkan keadaan.
Sehubungan itu, plaintif menuntut
ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi teruk dan injunksi untuk
menghalang defendan daripada terus menerbitkan kenyataan fitnah tersebut selain
faedah lapan peratus, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah. -
BERNAMA
0 Response to "Fitnah : Linda Onn dan Suria Fm di arah bayar RM 50K pada MOY"
Post a Comment