Hot !

Raih 7A SPM Walaupun Tercicir Sekolah Rendah






Dewi Darmah Abdul Ghani, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balaban Jaya bersama ibunya, Fatimah Bachuk menunjukkan keputusan 7A yang berjaya diraihnya dalam Sijil Pelajaran Malaysia 2014. Dewi Darmah antara tiga pelajar SMK Balaban Jaya memperolehi keputusan 7A SPM 2014. - Foto Bernama

BELURAN - Pernah tercicir dua tahun sesi persekolahan hingga menyebabkan gagal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), menjadi pendorong kepada Dewi Darmah Abdul Ghani untuk berjaya dalam pelajaran hingga memperoleh keputusan Cemerlang 7A Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014.

Dewi Darmah, 18, antara tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balaban Jaya, Beluran iaitu sekolah pedalaman kira-kira 14 kilometer dari pekan Beluran, yang memperoleh keputusan 7A.

Dewi Darmah berkata, dia berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaran kerana ingin membuktikan bahawa dia mampu berjaya dalam pelajaran walaupun pernah tercicir dua tahun semasa di sekolah rendah disebabkan masalah dokumen.

"Saya hampir tidak mempunyai peluang dalam pelajaran, namun berkat usaha ibu bapa dan peluang yang ada, saya mampu melakar kecemerlangan apabila mendapat 7A walaupun tidak mengikuti kelas tuisyen," kata Dewi Darmah yang mengambil 10 mata pelajaran kepada Bernama di sini, hari ini.

Anak keenam daripada lapan beradik itu berkata dia hanya sempat mengikuti kelas tahun enam pada sesi akhir persekolahan tetapi tidak sempat menduduki UPSR dan diberi peluang menyambung tingkatan satu di SMK Balaban Jaya.

Faktor lain yang membantu kejayaan anak petani ini, sentiasa rajin ke sekolah, memberi perhatian ketika cikgu mengajar, menghormati orang tua, tidak leka dengan telefon bimbit dan tidak melayari laman sosial Facebook.

Dewi Darmah bercita-cita menjadi pendidik dan amat berharap dapat memasuki maktab perguruan.

Ibunya, Fatimah Bachuk, 53, tidak menyangka anaknya mampu mendapat keputusan SPM dengan cemerlang.

"Bagi saya, menghantar anak ke sekolah adalah penting untuk masa depan mereka," katanya yang merupakan seorang suri rumah.

Menurutnya, hanya sijil kelahiran Dewi Darmah yang menghadapi masalah daripada lapan anaknya, selepas berlaku kesilapan apabila didaftarkan 'warga asing' ketika anaknya itu dilahirkan di Hospital Beluran.

Pengetua SMK Balaban Jaya, Myrene Gidung berkata seramai 38 daripada 40 calon SPM 2014 di sekolah itu, lulus iaitu 95 peratus, mencatatkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya 88.75 peratus.

Menurutnya, tiga pelajar sekolah berkenaan mendapat 7A iaitu Dewi Darmah, Maslinah Jimis dan Faziahtul Idayu Malan, manakala dua pelajar mendapat 6A dan tiga mendapat 5A. - Bernama


Sumber

Related Posts :

0 Response to "Raih 7A SPM Walaupun Tercicir Sekolah Rendah"

Post a Comment