Hot !

Peniaga Nasi Kandar Masih Tak Endah Tentang Sijil Halal





Restoran nasi kandar menjadi pilihan orang ramai termasuk pelancong luar ketika berkunjung di negeri ini (gambar sekadar hiasan)


GEORGETOWN - Masih banyak restoran dan kedai nasi kandar di negeri ini didapati belum memiliki sijil halal dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Tinjauan Sinar Harian mendapati hanya beberapa rangkaian restoran nasi kandar memiliki sijil halal disahkan kerajaan.

Antaranya Nashmir Nasim Kandar Sdn Bhd, Pelita Samudera Pertama (M) Sdn Bhd, Restoran Kassim Mustafa dan Restoran Kamalia.

Difahamkan, Restoran Jaya, Restoran Nasi Kandar Subaidah, Restoran Deen Baru dan Nasi Kandar Zamrud juga memperoleh sijil halal.

Namun tinjauan mendapati ada beberapa restoran nasi kandar terkenal yang sering mendapat jolokan di Pulau Pinang belum lagi memiliki sijil halal walaupun dikunjungi orang ramai termasuk pelancong asing.

Usaha Sinar Harian untuk mendapatkan penjelasan daripada pemilik restoran nasi kandar terbabit alasan mereka tidak lagi memohon sijil halal gagal kerana kebanyakannya enggan ditemu bual.


Kewajipan sedia makanan bersih, suci

Bagaimanapun, beberapa pelanggan yang ditemui ternyata terkejut apabila dimaklumkan banyak kedai atau restoran nasi kandar tidak mempunyai sijil halal.

Ahmad Qudri Osman, 25, berkata, sebagai penyedia makanan, restoran nasi kandar perlu mendapatkan sijil halal yang sah.

Beliau turut mempersoalkan sama ada syarat terlalu ketat perlu dipatuhi oleh pengusaha jika mahu mendapatkan sijil halal.

Sepatutnya semua kedai atau restoran perlu ada sijil halal dan ia bukan sahaja terhad untuk nasi kandar.

Jika mempunyai sijil halal sudah pasti akan meyakinkan lagi pelanggan, katanya.

Noor Zahlia Mohd Yusoff, 26, berkata, sejak mendengar berita mengenai banyak restoran nasi kandar kotor seperti dilaporkan media baru-baru ini menyebabkan dia tidak lagi menjejakkan kaki ke situ.

Sebelum ini saya selalu juga menikmati hidangan di kedai atau restoran nasi kandar namun selepas mendengar berita 15 restoran nasi kandar diarahkan tutup pada hujung bulan lalu, saya sudah hilang selera untuk menjamu selera di sana.

Pengusaha nasi kandar perlu pentingkan aspek kebersihan dalam penyediaan makanan dan itu kewajipan mereka untuk menyediakan makanan yang suci, bersih dan selamat, katanya.


Banyak kedai ditutup kerana kotor

Sebelum ini media melaporkan 15 premis nasi kandar ditutup oleh Jabatan Kesihatan Pulau Pinang dalam operasi kebersihan restoran di seluruh negeri.

Ketua Unit Penguatkuasaan Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, Ahmad Shukri Bakar dipetik sebagai berkata, premis itu adalah antara 32 cawangan diperiksa membabitkan lima daerah semasa Ops Nasi Kandar.

Dari 15 yang ditutup, tujuh premis berada di kawasan pulau (tiga di daerah Timur Laut dan empat di Selatan-Barat). Selebihnya adalah di Seberang Perai Utara (enam) dan dua di Seberang Perai Tengah.

Beliau berkata ia ditutup selama 14 hari kerana tidak mematuhi pelbagai kriteria kebersihan. Dengan lain kata, keadaan premis kotor.


Exco galak peniaga dapatkan sijil halal

Sementara itu, Exco Agama Islam dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Kassim sebelum ini juga dilaporkan berkata, kerajaan negeri amat menggalakkan pengusaha mendapatkan sijil halal yang sah dari Jakim.

Menurutnya, pensijilan halal untuk premis makanan adalah berteraskan kebersihan, keselamatan selain servis makanan dan minuman yang bebas dari sumber alkohol atau sumber haram lain.

Dengan penjenamaan halal, pelanggan memperoleh keyakinan serta kepuasan terhadap premis dan servis makanan sekali gus dapat menjana keuntungan kepada pengusaha makanan halal.

Demi memastikan prosedur halal dipatuhi, Unit Pengurusan Halal Pulau Pinang akan menjalankan lawatan dan pemeriksaan terhadap premis makanan dari semasa ke semasa dalam usaha mendokong kualiti dan integriti halal,? katanya


Sumber

Related Posts :

0 Response to "Peniaga Nasi Kandar Masih Tak Endah Tentang Sijil Halal"

Post a Comment