
Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Loo Took Gee dan Datuk Ir Ahmad Fauzi Hasan bersama para penyumbang dan peneraju bagi program Forum Tenaga Kebangsaan Kali Ke-6 di Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur, foto. ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 10 MAC 2015.
Bagi memastikan bekalan elektrik di negara ini tidak mengalami gangguan, Suruhanjaya Tenaga telah melanjutkan perjanjian pembelian tenaga (PPA) dengan lima penjana tenaga bebas (IPP) bagi tempoh di antara dua sehingga 10 tahun.
Perlanjutan kontrak tersebut melibatkan kapasiti tenaga sebanyak 2915 megawat dan dibuat berdasarkan bidaan yang kompetitif selain penawaran pakej lebih baik dan ekonomikal daripada IPP.
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga, Datuk Ir Ahmad Fauzi Hasan berkata, PPA kali ini amat menekankan dari segi kos bagi memastikan ianya tidak membebankan kerajaan dan pengguna pada masa akan datang.
"Ada IPP yang dilanjutkan kontrak selama dua tahun, lima tahun dan 10 tahun. Kesemuanya bergantung kepada apa yang ditawarkan oleh IPP berkenaan. Jika mereka menawarkan kadar yang kompetitif, sudah tentu kami akan melanjutkan kontrak mereka," katanya semasa sidang media selepas pelancaran Forum Tenaga Kebangsaan Keenam di sini hari ini.
Lima IPP yang telah dilanjutkan kontrak adalah Genting Sanyen dengan kapasiti loji janakuasa sebanyak 675 megawat, Segari (1303 megawat), TNB Pasir Gudang (275 megawat), dua loji janakuasa TNB Jambatan Connought dengan kapasiti masing-masing 362 megawat dan 300 megawat.
Pelanjutan perjanjian dengan Segari dan Genting Sanyen adalah untuk tempoh 10 tahun, TNB Pasir Gudang (lima tahun), loji janakuasa 300 megawat TNB Jambatan Connaught (4 tahun 4 bulan), loji janakuasa 362 megawat TNB Jambatan Connaught (setahun).
Menurut Fauzi, setelah melakukan kajian terhadap permintaan dan bekalan tenaga, Suruhanjaya Tenaga mendapati keperluan untuk meningkatkan kapasiti sama ada menerusi pembinaan loji janakuasa baharu atau melanjutkan kontrak IPP yang ada.
"Setelah membuat pernilaian kami mendapati pelanjutan kontrak adalah lebih menjimatkan berbanding membeli atau membina loji janakuasa baharu.
Tetapi kali ini kami melakukan sedikit bidaan kepada IPP sedia ada untuk mencari kadar yang paling kompetitif.
Kadar IPP sekarang adalah lebih baik kerana ia tidak lagi mahal berbanding perjanjian sebelumnya," tambahnya lagi.
Suruhanjaya Tenaga menurut beliau turut akan mengadakan bidaan baharu untuk IPP yang bakal mengakhiri perjanjian konsesi mereka.
- malaysiagazette.com
0 Response to "Kontrak 5 Penjana Tenaga Bebas (IPP) Disambung"
Post a Comment