KUALA LUMPUR: Tahun lepas adalah tahun paling selamat bagi penerbangan komersial global dengan kadar kemalangan pesawat turun ke paras terendah dengan satu kemalangan setiap 4.4 juta penerbangan, walaupun dengan insiden tragik penerbangan MH370 dan MH17.
Bagaimanapun, Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menyatakan jumlah kematian meningkat kepada 641 pada 2014 berbanding purata 517 kematian setahun yang dicatatkan dalam tempoh lima tahun antara 2009 dan 2013.
Dalam satu kenyataan, IATA menyatakan ini adalah peningkatan berbanding kadar di peringkat global pada 2013 iaitu purata satu kemalangan setiap 2.4 juta penerbangan.
Mengenai kehilangan pesawat penerbangan MH370, IATA menyatakan industri itu menyambut baik cadangan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk menggunakan standard berasaskan prestasi bagi pengesanan global pesawat komersial, disokong oleh penilaian operasi multinasional untuk menilai impak dan panduan pelaksanaannya.
Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IATA, Tony Tyler, berkata kejadian menembak jatuh pesawat penerbangan MH17 yang mengorbankan 298 nyawa, tidak boleh diterima dan ini menyebabkan kerajaan dan industri mencari cara untuk mengurangkan risiko pesawat terbang di atas zon konflik.
"Ini termasuk peningkatan perkongsian maklumat kritikal mengenai risiko keselamatan kepada penerbangan awam.
"Kami menggesa kerajaan supaya mencari mekanisme antarabangsa untuk mengawal selia reka bentuk, pembuatan dan penggunaan senjata dengan keupayaan antipesawat.
"Apa yang boleh kami lakukan sebagai penghormatan kepada mereka yang kehilangan nyawa dalam tragedi berkaitan penerbangan ialah untuk meneruskan usaha menjadikan penerbangan lebih selamat. Itulah yang kami sedang lakukan," kata Tyler.
Bagi meningkatkan keselamatan penerbangan, IATA telah mewujudkan program Pengurusan Data Penerbangan Global, yang akan menganalisis laporan yang meliputi kemalangan, insiden, penyelenggaraan dan audit, serta data daripada hampir dua juta penerbangan dan lebih sejuta laporan keselamatan udara.
Ini akan meningkatkan keupayaan penerbangan untuk mengenal pasti perkara yang menjadi kebimbangan sebelum muncul ke tahap berpotensi kepada ancaman.
- BERNAMA
0 Response to "Nahas Udara 2014 Terendah Dalam Sejarah - IATA"
Post a Comment