TELAGA Gong Tok Nasek yang terletak di pekarangan Masjid Gong Tok Nasek mempunyai sejarah dan keistimewaan tersendiri, airnya tidak pernah kering walaupun ketika musim kemarau panjang.
Menurut AJK Masjid Gong Tok Nasek, Abdullah Mat Zin, telaga itu sebenarnya berusia lebih 200 tahun dan ia dibina secara bergotong-royong penduduk setempat suatu ketika dahulu.
Menurut AJK Masjid Gong Tok Nasek, Abdullah Mat Zin, telaga itu sebenarnya berusia lebih 200 tahun dan ia dibina secara bergotong-royong penduduk setempat suatu ketika dahulu.

Telaga Gong Tok Nasek yang berusia lebih 200 tahun menyimpan kisah tersendiri dan masih kekal terpelihara sehingga ke hari ini
Kerja pembinaan telaga ini dilakukan dengan menggali dan menyusun batu-batu sungai yang dianggarkan sedalam enam meter.
Dahulu, telaga ini digunakan penduduk kampung untuk mengambil air sembahyang selain turut dimanfaatkan untuk kegunaan harian, katanya.
Abdullah berkata, apa yang menarik mengenai Telaga Gong Tok Nasek ini, di dalamnya terdapat seekor ikan kaloi seberat hampir lima kilogram dengan panjang dianggarkan 750 milimeter sekitar 1950 hingga 1960.
Memang saya sendiri pernah melihat dan memegang ikan itu. Ia timbul di permukaan air dan akan memakan daun keladi yang dicampak ke dalam perigi itu.
Ketika memegang ikan kaloi itu, saya berusia 7 atau 8 tahun, tetapi kenangan itu masih jelas dalam ingatan saya sehingga kini. Dulu saya turut membantu membersihkan kawasan telaga ini, katanya.
Abdullah berkata, ikan kaloi itu memang dibela di dalam perigi itu, bagaimanapun, dia tidak pasti ke mana ikan itu menghilang selepas 1960, mungkin juga diambil seseorang pada ketika itu.
Sehingga kini kehilangan ikan itu masih menjadi misteri dalam kalangan orang lama di kampung tersebut. Dia juga yakin Telaga Gong Tok Nasek ada sejak lebih 200 tahun lalu kerana ketika datuknya masih muda, telaga dan masjid itu sudah ada.
Telaga ini memang digali untuk mendapatkan air. Selain itu, ia adalah satu sumber penting bagi membantu membina masjid.
Selepas terbinanya masjid, telaga ini dimanfaatkan untuk mengambil wuduk dan kegunaan penduduk setempat, katanya.
Tukang tilik nasib
Bercerita mengenai asal-usul nama Telaga Gong Tok Nasek, Abdullah berkata, perkataan Gong diambil sempena muka bumi kawasan itu yang lebih tinggi dari kawasan lain, bagaimanapun sehingga kini dia belum menemui bukti kukuh mengapa ia dinamakan Tok Nasek.
Ada dua kemungkinan yang saya andaikan mengenai nama Tok Nasek iaitu satunya mungkin disebabkan oleh orang yang mempelawa untuk menilik nasib kerana ia agak terkenal suatu ketika dulu.
Selain disebabkan tukang tilik nasib, ia juga mungkin berpunca daripada penduduk Kampung Gong Tok Nasek sendiri yang merantau untuk mengubah nasib ke kampung atau daerah lain, katanya.
Abdullah berkata, uniknya Telaga Gong Tok Nasek, airnya memang tidak pernah kering walaupun suatu ketika dulu berlaku kemarau panjang, telaga itu menjadi sumber air kepada penduduk di kawasan itu.
Katanya, terdapat beberapa lagi telaga di kampung itu seperti Telaga Pok De mengambil sempena nama seorang yang cukup dikenali penduduk kampung yang bekerja sebagai bilal di Masjid Gong Tok Nasek suatu ketika dulu.
Terdapat juga telaga diberi nama Telaga Tok Bidan sempena nama seorang bidan yang paling tua ketika itu di kampung ini.
Sekarang Telaga Pok De dan Telaga Tok Bidan sudah tiada kerana disebabkan pembangunan di kawasan itu. Mujurlah, Telaga Gong Tok Nasek masih ada dan terpelihara sehingga kini untuk tatapan generasi akan datang, katanya.
Masjid berwajah baharu
Menurut Abdullah, Masjid Gong Tok Nasek terletak dalam mukim Bukit Besar, pembinaan semula masjid ini pada 1960 dan dirasmikan pada 1963 oleh bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Ibrahim Fikri Mohammad.
Masjid ini mengalami proses ubahsuai dan naik taraf pada 1986.
Pada awalnya masjid ini diperbuat daripada kayu yang dibina dengan menggunakan gergaji tangan. Masjid yang dibina di atas tanah wakaf ini bersifat separuh kekal yang berkeluasan setengah ekar di mana peruntukan pembinaannya melalui hasil derma dan sumbangan kerajaan.
Setelah diubahsuai ketika itu, masjid ini mampu menampung 800 jemaah ketika itu dan persempadanan berJumaat dengan Masjid Kolam, Kuala Ibai, Masjid Padang Negara (Timur), Masjid Kampung Nibong (Utara), Masjid Kampung laut (Selatan) dan Masjid Haji kadir (Barat), katanya.
Kini, katanya, Masjid Kampung Gong Tok Nasek berwajah baharu dan dibina dengan konsep moden kontemporari menggunakan kombinasi reka bentuk beberapa masjid di Singapura serta Brunei.
Pembinaan masjid ini dilengkapi kemudahan pejabat pengurusan, kelas pengajian yang boleh memuatkan 200 orang pada satu-satu masa dan bilik penginapan dengan harga RM60 semalaman untuk musafir, katanya.
Terdapat kubur orang alim
Bercerita lebih lanjut mengenai Kampung Gong Tok Nasek, Abdullah berkata, ia adalah kampung induk dari kampung kecil berhampiran iaitu Kampung Gong Baru dan Kampung Gong Parit.
Abdullah, yang juga bekas Pengerusi JKKK Gong Tok Nasek pada 1999 hingga 2014, berkata, nama Kampung Gong Baru diambil sempena kampung yang baharu dibuka berbanding Gong Tok Nasek.
Nama Gong Parit pula diambil nama sempena sebuah parit suatu ketika dulu yang airnya cukup jernih sehingga jelas nampak pasir garam yang memutih di dasarnya.
Airnya amat sejuk, jernih dan segar. Saya dan kawan-kawan pernah mandi di parit itu ketika berusia 7, 8 tahun. Kini, parit itu sudah tiada lagi disebabkan pembangunan di kawasan itu, katanya.
Abdullah berkata, Kampung Gong Tok Nasek cukup terkenal dengan orang alim ulama suatu ketika dahulu malah buktinya kini kubur alim ulama seperti Haji Mat Soud dan Tokki Tok Yeh masih terpelihara di kampung itu.
Dulu kampung ini memang terkenal dengan tempat belajar al-Quran dan agama. Sebab itulah masjid begitu dijaga dan terdapat juga telaga untuk kegunaan mereka dalam beribadah selain keperluan asas, katanya.
- sinarharian.com.my
0 Response to "Misteri Ikan Kaloi Dalam Telaga"
Post a Comment