Hot !

Enam Rumah Kedai Berusia 100 Tahun Musnah Terbakar




BANDA HILIR - Enam deretan rumah kedai dua tingkat berusia lebih 100 tahun di Jalan Parameswara di sini, musnah dalam kebakaran semalam.

Menurut salah seorang penyewa di situ, yang enggan identitinya dikenali, dia terlihat kepulan asap tebal memasuki ruang kedai kira-kira jam 9.30 pagi.

 


Enam deretan rumah kedai dua tingkat berusia 100 tahun yang terletak di Jalan Parameswara musnah



"Kemudian terdengar bunyi beberapa letupan kecil sebelum api marak. Kebakaran berlaku terlalu pantas.

"Saya hanya sempat ambil telefon bimbit. Barang lain habis musnah," katanya.

Sementara itu, seorang warga emas yang mahu dikenali sebagai Chan, 55, berkata, ketika kejadian dia sedang bersarapan bersama seorang rakan di sebuah kedai makan berhampiran.

Kejadian berlaku kira-kira jam 9.40 pagi. Selepas melihat asap tebal memenuhi kawasan kedai makan, saya tinjau ke luar jalan dan mendapati api sedang marak.

Deretan rumah kedai ini sudah berusia 100 tahun. Beberapa kedai sudah lama kosong, hanya ada satu yang masih berniaga, katanya di lokasi kejadian semalam.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, PBK 2 Azman Sulaiman berkata, kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh 10 minit selepas jentera pertama tiba.

Api dipercayai dari bahagian bawah lot kedua rumah kedai berkenaan sebelum merebak ke kawasan bersebelahan, katanya.

Difahamkan lima rumah kedai sudah tidak beroperasi sejak beberapa minggu lalu, dan hanya sebuah premis sahaja yang menjalankan perniagaan ukiran.

Azman berkata, punca dan anggaran kerugian masih disiasat dan bomba sedang mengesan pemilik premis bagi membantu siasatan.

Tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini. Tujuh jentera pemadaman api dari empat Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Ayer Keroh, Jasin dan Bukit Katil dikejarkan dengan kekuatan 32 pegawai dan anggota, katanya.



- sinarharian.com.my

0 Response to "Enam Rumah Kedai Berusia 100 Tahun Musnah Terbakar"

Post a Comment