Hot !

Suami, Isteri Orang Dicekup Basah Kali Kedua Dalam Sebulan






Jitra: Tindakan sepasang kekasih yang juga suami dan isteri orang memadu asmara membawa padah apabila mereka dicekup buat kali kedua kerana melakukan kesalahan sama di rumah yang baru disewa di Kampung Tok Kesop, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam serbuan jam 1.30 pagi, pasangan berusia 25 dan 29 tahun itu dicekup sepasukan anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu (PADKP), selepas mengesyaki mereka bersekedudukan.

Sebelum ini, pasangan itu pernah ditahan kerana disyaki berkhalwat di rumah di kawasan perumahan di Kamunting, dekat sini, pada jam 11.45 malam pada 7 Januari lalu.

Ketika tangkapan itu dilakukan, dua anak wanita terbabit iaitu bayi lelaki berusia tujuh bulan dan kanak-kanak dua tahun turut berada di rumah itu.

Bagaimanapun, dua anak wanita itu diambil ahli keluarganya untuk dipelihara menyebabkan pasangan berkenaan mengambil kesempatan untuk menyewa di rumah lain.

Namun, mereka dicekup sekali lagi kerana berkhalwat selepas tindakan tinggal bersama di rumah itu menimbulkan curiga kepada orang ramai yang membuat aduan kepada pihak PADKP untuk tindakan lanjut.

Pegawai PADK Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, sepasukan anggota bergegas ke lokasi berkenaan untuk membuat pemeriksaan dan mendapati keadaan pintu rumah tertutup rapat dan berkunci dari dalam.

Beliau berkata, selepas mengetuk pintu dan memberi salam, seorang lelaki yang memakai kemeja-T dan berkain pelekat membuka pintu dan membenarkan pemeriksaan dijalankan.

Hasil pemeriksaan menemui seorang wanita yang berkain batik dan memakai kemeja-T sedang berbaring di atas tilam di ruang tamu rumah berkenaan.

Berdasarkan rekod, pasangan itu pernah ditahan sebelum ini kerana berkhalwat, tetapi di tempat lain menyebabkan mereka ditahan untuk siasatan lanjut, katanya.

Radzi berkata, lelaki yang bekerja sebagai pemandu lori sebelum ini dikatakan pernah membawa wanita itu yang menetap di Sungai Petani ketika isterinya tiada di rumah hinggakan wanita itu sanggup membawa dua anaknya sewaktu suaminya keluar bekerja.

Beliau berkata, pasangan itu sanggup bersekedudukan dalam rumah itu walaupun masing-masing masih berstatus isteri dan suami orang, malah pernah ditahan sebelum ini.

Berikutan itu, kami terpaksa menahan mereka untuk siasatan lanjutan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk dibuat laporan tangkapan.

Mereka dibawa ke pejabat agama daerah dan dibebaskan dengan jaminan keluarga.

Kes disiasat mengikut Seksyen 9(1) dan (2) Enakmen Kanun Jenayah Kedah 1988 dan sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM2,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali, katanya.


sumber: hmetro.com.my

0 Response to "Suami, Isteri Orang Dicekup Basah Kali Kedua Dalam Sebulan"

Post a Comment