Hot !

Seorang Wanita Dihukum Penjara Enam Tahun Kerana Dera Pembantu Rumah


Hong Kong: Seorang wanita dihukum penjara enam tahun, semalam, kerana mendera pembantu rumahnya warga Indonesia.

Law Wan-tung, 45, didapati bersalah awal bulan ini atas tuduhan menyerang, mencederakan dan mengancam Erwiana Sulistyaningsih, 24, dalam kes yang jelas mengetengahkan risiko dihadapi golongan amah di Asia dan Timur Tengah.

Ibu beranak dua itu tidak menunjukkan sebarang reaksi ketika hukuman dijatuhkan Hakim Mahkamah Daerah Amanda Woodcock.

“Tuduhan berat dan keadaan kes ini memerlukan hukuman penjara yang lama,” katanya.

Katanya, Law tiada belas kasihan dan menghina sesiapa yang dianggap bertaraf rendah daripadanya.
Amanda turut mendenda Law HK$15,000 (RM7,000) bagi 10 tuduhan gagal membayar gaji Erwiana tepat pada masanya serta tidak memberinya cuti.

Law juga mengaku salah tuduhan gagal menyediakan insurans untuk mangsa.

Pada masa sama, Amanda menyelar peraturan ditetapkan kerajaan yang mewajibkan pembantu rumah tinggal bersama majikan mereka yang dianggap punca kes penderaan amah.

Dia juga menggesa kerajaan Hong Kong serta Indonesia menyiasat amalan agensi pekerjaan yang mengenakan bayaran tinggi kepada pekerja asing menyebabkan mereka terikat dengan bebanan hutang.

Penderitaan Erwiana diketahui umum selepas gambarnya menunjukkan kesan kecederaan teruk dialaminya - dengan tangan, kaki dan muka dipenuhi kesan keruping, luka selain kulit kakinya hitam serta menggelupas.

“Saya amat gembira kerana akhirnya majikan dipenjara walaupun hanya untuk enam tahun. Namun cukuplah keadilan bagi saya,” kata Erwiana di luar mahkamah.

Erwiana mula bekerja dengan Law yang mempunyai dua anak remaja selama lapan bulan bermula Jun 2013. - AP

0 Response to "Seorang Wanita Dihukum Penjara Enam Tahun Kerana Dera Pembantu Rumah"

Post a Comment