Hot !

Pihak yang Edar al-Quran Percuma Diminta Beri Penjelasan


Pertubuhan yang mewakili penganut agama bukan Islam meminta pihak berkenaan tampil memberi penjelasan mengenai pengagihan al-Quran kepada rakyat beragama bukan Islam di Teluk Pulai, Selangor.

China Press melaporkan pihak berkenaan perlu memberi penjelasan mengenai pengagihan al-Quran yang disertakan dengan pengisian satu borang untuk mengelakkan timbul isu sensitif yang mungkin menyentuh emosi sesetengah pihak.

Masing-masing Young Buddhist Association of Malaysia dan Malaysia Christian Youth Association telah meminta pihak yang mengedar al-Quran itu memberi penjelasan untuk mengelakkan timbul khabar angin yang mungkin membawa rasa kurang selesa.

Presiden Young Buddhist Association of Malaysia, Goh Qing Song berkata, penyebaran mesej melalui WhatsApp mengenai kegiatan pengagihan al-Quran itu telah menimbulkan rasa 'syak' malahan kebimbangan penganut agama bukan Islam.

Jelasnya, pelbagai insiden melibatkan sensitiviti agama kebelakangan ini menyebabkan penganut bukan Islam berasa 'syak' dan kurang selesa.

"Oleh itu, pertubuhan yang terlibat dalam pengagihan al-Quran ini harus memberi penjelasan dengan segera untuk mengelakkan syak wasangka," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas sebaran mesej WhatsApp yang menyatakan sebuah pertubuhan telah mengagihkan al-Quran di Teluk Pulai secara percuma.

Mesej itu turut mendakwa pengisian borang selepas pengagihan al-Quran adalah bertujuan menukar status agama penerima al-Quran percuma tersebut.

Selain itu, mesej tersebut menyatakan al-Quran merupakan kitab suci untuk penganut Islam dan tidak sepatutnya disentuh bukan Islam.

Selepas menerima al-Quran, seseorang juga tidak boleh membuang atau meletaknya sembarangan kerana akan dikenakan tindakan memandangkan al-Quran adalah suci.

Mesej itu akhirnya meminta orang ramai bukan beragama Islam menolak secara bersopan apabila diberikan al-Quran percuma. - Malaysiagazette

0 Response to "Pihak yang Edar al-Quran Percuma Diminta Beri Penjelasan"

Post a Comment