Hot !

Lanun menyamar krew kapal




KOTA TINGGI - Tindakan sekumpulan lanun yang bersenjatakan pistol mainan untuk merompak dan melarikan sebuah kapal membawa muatan minyak di kedudukan 2 Batu Nautika Tanjung Ayam, Perairan Pengerang, di sini berjaya dipatahkan oleh Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM).

Kapal terbabit iaitu kapal MT Sun Burdie yang membawa minyak jenis Marine Fuel Oil (MFO) sebanyak 700 metrik tan telah dirampas oleh sembilan orang suspek selepas ia tidak dapat dikesan dan dihubungi oleh syarikat berkenaan sejak 28 Januari kira-kira jam 10 malam.



Ibrahim (dua, kiri) menunjukkan antara barang yang dirampas dalam operasi tersebut pada sidang media yang diadakan di Pejabat APMM Tanjung Sedili semalam

 


Pengarah Operasi Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Ibrahim Mohamed berkata, kumpulan perompak itu juga disifatkan sebagai profesional dan sempat menukar nama kapal dan juga cat badan kapal tersebut.

“Dalam operasi khas pada 29 Januari itu, kita berjaya mematahkan kejadian rampasan dengan melibatkan beberapa kapal dan bot serta pesawat udara APMM dibantu kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Pahang," katanya pada sidang media di Pejabat APMM Tanjung Sedili, semalam.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat pihak APMM telah mengatur gerak dua buah kapal, dua bot pemintas dan PTK bagi operasi mencari kapal tersebut.

"Pada jam 10.45 malam kapal ronda APMM berjaya mengesan kapal tersebut di kedudukan 15 batu nautika Timur Tanjung Siang.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kapal terbabit, kita dapati terdapat lebihan krew di atas kapal iaitu 17 orang. Suspek juga turut bertindak menyamar sebagai krew, bagaimanapun kita berjaya mengenal pasti tujuh orang suspek, dua lagi suspek telah bertindak terjun ke laut setelah menyedari kehadiran pihak APMM. 10 krew sebenar pula telah diikat,” katanya.

Ibrahim berkata, dua orang suspek tersebut dijumpai sebuah kapal dagang di kedudukan 10 batu nautika Timur Tanjung Punggai sejauh 13 batu dari tempat kapal minyak ditahan.

Katanya, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM900,000 dan hasil siasatan awal mendapati kesemua suspek berjaya merampas kapal terbabit ketika sedang bersauh dengan menggunakan parang, kerambit, tukul besi termasuk tiga pistol mainan.

“Suspek berusia 26 hingga 48 tahun itu menggunakan modus operandi merompak kapal dan menjual minyak kepada kapal lain sebagai pembeli yang telah diaturkan dengan harga RM600,000," katanya.



Sumber

0 Response to "Lanun menyamar krew kapal"

Post a Comment