Hot !

Exco Berang Pengusaha & Pirolisis Tak ikut Peraturan



IPOH 2 Feb. – Mesyuarat tergempar antara kerajaan negeri dengan pengusaha pirolisis minyak tayar terpakai di negeri ini hari ini menjadi ‘medan’ seorang Exco kerajaan negeri meluahkan rasa marah serta dukacita.

Pengerusi Jawatan*kua*sa Kesihatan, Pengangkutan, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon menzahirkan rasa marah beliau kerana masih terdapat pengusaha pirolisis yang enggan mengikuti peraturan pembakaran tayar seperti digariskan kerajaan negeri.

 


MAH HANG SOON




Hang Soon yang merupakan pemimpin berperwatakan tenang hilang sabar dengan sikap beberapa pengusaha pirolisis meskipun aku janji telah ditandatangani dalam kalangan pengusaha tersebut untuk menjalankan perusahaan berlandaskan undang-undang.

Punca kemarahan Hang Soon itu dipercayai disebabkan kes kebakaran ‘boiler’ atau dapur pembakaran tayar di sebuah kilang pelupusan tayar Port Lumut di Kampung Acheh dekat sini semalam.

“Memang betul, kita perlukan pengusaha kilang pirolisis untuk melupuskan tayar terpakai, tetapi kita telah bersetuju dalam beberapa mesyuarat terdahulu untuk melakukannya mengikut kaedah seperti digariskan kerajaan negeri, bukan menggunakan cara seperti dilakukan sebelum ini yang membahaya serta menyebabkan pencemaran.

“Kerajaan negeri te*lah bawa pakar dari China untuk beri taklimat, kami juga bawa syarikat yang menggunakan teknologi terkini dari Jepun untuk berkongsi pengalaman. Tetapi masih ada pengusaha yang tidak mematuhi peraturan serta perjanjian dibuat sebelum ini. Saya sangat marah dan kecewa,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi semalam, sebuah kilang pelupusan tayar di Kampung Acheh terbakar yang berpunca daripada dapur pembakar tayar, tetapi tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Walau bagaimanapun, difahamkan, kilang tersebut masih beroperasi seperti biasa hari ini meskipun baru sahaja mengalami kebakaran dan dipercayai tidak menjalankan proses pembakaran mengikut garis panduan dibenarkan.

Menurut Hang Soon, kerajaan serius berhubung isu tersebut dan beliau telah mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) melaksanakan tindakan bersepadu untuk turun padang serta merobohkan mesin-mesin pembakaran yang tidak mengikuti spesifikasi di kilang-kilang perusahaan pirolisis.

Beliau juga mengarahkan pengusaha-pengusaha yang masih menggunakan kaedah atau dapur pembakaran lama merobohkannya sebelum kerajaan negeri menerusi PBT turun padang melakukannya.

“Kami telah beri masa tiga bulan, kami tidak akan berkompromi. Pastikan mesin-mesin atau dapur lama yang tidak memenuhi spesifikasi dirobohkan sebelum 21 Februari ini.

“Jika tidak, kami akan turun padang untuk robohkannya, kami bukan suka melakukannya, tetapi terpaksa bagi memelihara keselamatan serta kesihatan orang ramai. Selain itu, kerajaan negeri menerusi Jabatan Alam Sekitar sedang melihat kepada tindakan mahkamah yang boleh diambil terhadap pengusaha degil ini,” jelas beliau.


Sumber

0 Response to "Exco Berang Pengusaha & Pirolisis Tak ikut Peraturan"

Post a Comment